PETALING JAYA: HSBC Bank Malaysia Berhad mengumumkan bantuan pelbagai hala untuk bayaran balik pinjaman untuk pelanggannya yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut bank itu, pelanggannya boleh memohon penangguhan bayaran balik pinjaman dan pengewangan selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bayaran selama enam bulan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Syarat tersebut ialah kehilangan kerja pada tahun lalu atau tahun ini; pendapatan terkesan disebabkan Covid-19 serta perusahaan mikro yang tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP 3.0.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, HSBC terus komited membantu pelanggan dan menyokong pemulihan ekonomi negara namun mengakui bantuan yang diberikan perlu lebih bersasar berbanding bantuan yang bersifat pukal tahun lalu.
“Ini bermakna kami membantu pelanggan yang paling rentan secara kewangan dengan langkah bantuan yang spesifik, sementara menggunakan langkah yang lebih luas untuk menyokong asas pelanggan yang lain.
“Langkah yang lebih bernuansa dan haluan pelbagai hala ini merupakan jalan yang lebih baik untuk masa hadapan ekonomi yang mampan kerana ia membantu membina daya tahan kewangan berbanding kebergantungan kewangan,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Dalam kenyataan sama, HSBC Malaysia turut mengumumkan strategi yang lebih luas untuk membangunkan daya tahan kewangan dalam kalangan pelanggannya.
Menurut syarikat itu, langkah tersebut termasuk membantu pelanggan membina semula kewangan perniagaan dan peribadi dengan terus memberikan pinjaman untuk menyokong pertumbuhan kewangan secara peribadi dan komersial.
Selain itu, ia turut melibatkan bantuan menghubungkan semula pelanggan dengan peluang-peluang, khususnya untuk mereka yang memerlukan panduan komersial rentas sempadan serta memperbaharui penglibatan dan pendidikan kewangan dengan pelbagai program.
Terakhir, syarikat itu menawarkan bantuan untuk pelanggan merancang model kehidupan dan perniagaan, termasuk melibatkan peralihan ke arah pendigitalan dan karbon rendah yang kini sangat relevan dengan berkembang pesat di Asia Tenggara. – UTUSAN










