Harap kerajaan dengar rintihan warga MAHB agar LTSAAS tidak dijual - Zambry - Utusan Malaysia

Harap kerajaan dengar rintihan warga MAHB agar LTSAAS tidak dijual – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual. LTSAAS adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan.”

Itu penegasan Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membabitkan isu dan masa depan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang yang terus menjadi polemik.

Tegas Zambry, beliau telah menyatakan pendiriannya agar kerajaan perlu membatalkan hasrat untuk menswasta dan mengeluarkan (carve-out) LTSAAS bagi tujuan pengambilalihan oleh pihak tertentu.

Malah katanya, beliau juga telah menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh MAHB merupakan sebahagian daripada kerangkasa besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

“Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu tegas beliau, tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa beliau tidak pernah bersama MAHB dan Kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung, Sabah & Labuan serta Sarawak (KESMA, KEPEMAB & KEPMAS) dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan.

“Saya menghormati pendirian KESMA, KEPEMAB & KEPMAS kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports (MAHB),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×