PETALING JAYA: Syarikat milik kerajaan (GLC) mempunyai peluang besar dalam memacu pertumbuhan sekiranya diterajui
golongan profesional yang lebih pakar dan berkredibiti berbanding lantikan politik yang kurang pengalaman dalam bidang tersebut.
Malaysia sebagai negara berdemokrasi yang matang harus memegang prinsip politics and business do not mix sebagai prosedur operasi standard (SOP) demi kelangsungan syarikat GLC.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nurazilah Zainal berkata,
kelayakan profesional adalah ciri utama dalam memastikan GLC tersebut boleh bertahan dan berdaya saing untuk jangka
masa panjang.
Ujarnya, jika GLC diterajui orang biasa termasuk ahli politik yang tiada kelayakan dan integriti, kebarangkalian mereka untuk terjerumus dalam pecah amanah dan penyelewengan sangat tinggi.
“Kerajaan kali ini perlu belajar daripada pengalaman yang lepas apabila GLC yang dikendalikan ahli politik tidak berkelayakan banyak mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan kerajaan selain terpalit dengan isu pecah amanah.
“Apabila pemimpin gagal memegang amanah, rakyat hilang keyakinan dan mula beralih arah. Perlantikan ahli politik yang tidak mempunyai kelayakan asas ke dalam GLC secara tidak langsung mencerminkan ketidakseimbangan tadbir urus dan ketelusan syarikat.
“Malah, ada di antara ahli politik yang dilantik ini masih tidak faham perbezaan asas antara jawatan eksekutif dan bukan eksekutif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut beliau, lantikan dalam GLC memainkan peranan jatuh bangun sesebuah institusi dan ini dapat dilihat daripada kecemerlangan peneraju GLC dalam golongan profesional yang terbukti cemerlang seperti Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang berjaya menjadikan Malaysia Airlines syarikat penerbangan yang terulung di rantau ini.
“Selain itu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang sebelum ini diterajui oleh Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin dan Tan Sri Mohd. Hassan Marican mencatat prestasi amat membanggakan sehingga muncul dalam senarai Fortune 500,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, orang awam juga kurang bersetuju dengan lantikan ahli politik atau orang biasa yang tidak mempunyai kelayakan setara dengan jawatan yang dipertanggungjawabkan.
“Perkara pokok ialah syarikat GLC perlu dikendalikan oleh individu yang berkelayakan dan berintegriti.
“Ini sangat penting untuk memberi isyarat kepada pelabur bahawa GLC ditadbir secara profesional oleh individu yang tepat. Perkara itu juga tentunya memberi lebih manfaat kepada negara dari segi sentimen pelabur dan sebagainya,” katanya.
Kelmarin, pakar sektor awam utama Bank Dunia, Rajni Bajpai menegaskan, pelabur antarabangsa dan swasta melihat lantikan golongan profesional dalam GLC menggambarkan bahawa negara sentiasa mengamalkan ketelusan dalam pengurusannya, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk melabur.
Ini juga akan memberikan persaingan yang lebih setara untuk sektor swasta dan awam, yang mempunyai implikasi jangka panjang terhadap pertumbuhan. – UTUSAN










