PETALING JAYA: Proton mencatatkan jumlah eksport bulanan tertinggi dalam tempoh lebih lapan tahun apabila Mengeksport 669 unit kenderaan pada Mei lalu.
Eksport yang merangkumi model Saga, X50 dan X70 itu adalah yang tertinggi dicatatkan sejak Mac 2013.
Jumlah jualan itu juga meletakkan jumlah eksport Proton untuk tahun ini hanya kurang 100 unit sahaja lagi berbanding jumlah keseluruhan yang dicatat sepanjang tahun lalu.
Walau bagaimanapun, jualan keseluruhan Proton menurun pada bulan tersebut, sejajar dengan penyusutan jualan jumlah keseluruhan industri (TIV) industri automotif Malaysia pada bulan sama.
Proton berjaya menjual 9,440 unit pada Mei, penyusutan sebanyak 37.1 peratus berbanding April dan pegangan pasaran sebanyak 20.3 peratus.
Sehingga penghujung Mei, jumlah jualan yang telah direkodkan ialah 57,283 unit dengan pegangan pasaran sebanyak 23.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Proton, ia merupakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 2.4 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan kereta pada Mei menurun atas pelbagai faktor seperti kekurangan bekalan cip dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan bulan.
“Walaupun kebanyakan pemain industri mempunyai tempahan yang mencukupi, kebanyakannya perlu bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Bagi Proton, jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan dan kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 89 bulan walaupun menghadapi cabaran daripada rangkaian penghantaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Empat model Proton iaitu Saga, X50, X70 dan Exora kekal menjuarai segmen masing-masing. – UTUSAN










