CGC peruntuk jaminan sebanyak RM10 bilion sokong PKS terjejas Covid-19 - Utusan Malaysia

CGC peruntuk jaminan sebanyak RM10 bilion sokong PKS terjejas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah memberi komitmen untuk memberi jaminan sebanyak RM10 bilion kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bagi membantu kebolehupayaan dan pemulihan perniagaan, sejak April 2020 hingga Disember tahun ini.

Malah, pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-48 secara maya kelmarin, CGC menegaskan komitmennya menyokong PKS dalam usaha mereka untuk membaik pulih perniagaan bertunjangkan keberanian, kekuatan dan kemampuan untuk bangkit semula.

Dalam ucapannya, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein berkata, negara sedang menghadapi gelombang ketiga pademik Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Beliau berkata, pelaksanaan itu bakal membawa pelbagai cabaran untuk keseluruhan sektor PKS dalam beberapa bulan akan datang.

“CGC yakin terhadap pelbagai pakej bantuan seperti Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemerkasa Tambahan (Pemerkasa+) akan dapat membantu mengurangkan beban PKS.

“Pakej-pakej bantuan ini serta Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berjalan akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi Malaysia. Pada masa yang mencabar seperti ini, CGC akan terus memainkan peranan untuk menyokong kemampanan dan pemulihan PKS,” katanya dalam kenyataan.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-48 secara maya, CGC menegaskan
komitmennya untuk menyokong PKS dalam usaha mereka membaik pulih perniagaan. – GAMBAR CGC

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak ketika membentangkan prestasi syarikat untuk Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2020 dan Prospek 2021 berkata, di sebalik landskap ekonomi yang mencabar tahun lalu, CGC telah mencatat prestasi yang baik.

Ia didorong oleh matlamat CGC untuk membantu PKS dengan lebih baik melalui produk dan perkhidmatan yang inovatif, bagi memenuhi keperluan mereka di pelbagai peringkat perniagaan.

“Pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang meyusul mengakibatkan keuntungan bersih CGC berkurang sebanyak RM106.8 juta atau 49.6 peratus daripada RM215.3 juta pada 2019 kepada RM108.5 juta tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, CGC telah berjaya mencapai matlamatnya dalam Pelan Strategik 5 Tahun (5SP) 2016-2020 dan kini telah memasuki tahun pertama 5SP 2021-2025.

“Matlamat CGC ialah untuk mengukuhkan inisiatif transformasi dan menjadi `Rakan Kemajuan PKS di Setiap Tahap Kehidupan’ (Partner for MSME Growth Across Life Stages).

“CGC tetap komited dengan mandatnya dan yakin bahawa jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, gelombang pemulihan ekonomi boleh dicapai dalam waktu yang terdekat,” katanya.

CGC telah ditubuhkan pada 5 Julai 1972 dengan 78.65 peratus kepentingannya dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan 21.35 peratus lagi oleh bank-bank komersial di Malaysia.

Ia ditubuhkan untuk membantu PKS yang tidak mempunyai cagaran atau rekod tidak mencukupi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan menyediakan perlindungan jaminan ke atas kemudahan tersebut.

CGC telah memanfaatkan lebih daripada 490,000 jaminan dan pembiayaan kepada PKS bernilai lebih RM80 bilion sejak penubuhannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN