PETALING JAYA: Dua jenama telekomunikasi besar negara, Celcom dan Digi sah bergabung selepas Axiata Group Berhad, Telenor Asia Pte. Ltd. dan Digi.com Berhad mengumumkan telah menandatangani perjanjian transaksi penggabungan tersebut, semalam.
Menurut Axiata dan Telenor, pihaknya telah menyelesaikan langkah ketekunan wajar yang perlu dan Celcom Axiata Berhad bersama Digi akan membentuk entiti penyedia perkhidmatan digital yang lebih berdaya tahan serta kukuh secara komersial, yang akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk mencapai impian pendigitalannya.
Menurutnya, syarikat gabungan (MergeCo) itu secara proforma dijangka akan menyediakan khidmat untuk 19 juta pelanggan dengan pendapatan RM12.4 bilion, EBITDA RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai (PAT) RM1.9 bilion dan aliran tunai bebas RM4 bilion, berdasarkan pencapaian tahun kewangan 2020.
“Axiata dan Telenor akan menjadi rakan kongsi setara dengan 33.1 peratus pemilikan masing-masing dalam MergeCo dan MergeCo akan terus disenarai dalam Bursa Malaysia.
“Menyasarkan untuk menjadi satu daripada lima syarikat terbesar dalam Bursa Malaysia dari segi permodalan pasaran, MergeCo dinilai pada nilai ekuiti gabungan sebelum sinergi sebanyak hampir RM50 bilion,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, pihaknya sedang merancang kemajuan yang baik dalam proses penggabungan itu dan masih sejajar dengan hasratnya untuk menyampaikan usul nilai yang kukuh bagi membolehkan pelanggannya turut serta dalam transformasi digital negara dengan lebih yakin.
“Kami teruja untuk menyampaikan nilai dan pilihan yang lebih baik untuk memanfaatkan masyarakat, terutamanya dalam menghubungkan jurang di kawasan luar bandar serta membantu perniagaan merebut peluang baharu dalam persekitaran digital yang pantas ini.
“Dengan peralihan yang lancar, dalam tempoh selepas integrasi, kami menjangkakan peningkatan EBITDA dan margin aliran tunai dalam entiti gabungan, selari dengan komitmen berterusan kami untuk memaksimumkan pemberian dividen kepada pemegang saham,” katanya.
Menurut Axiata dan Telenor, MergeCo akan menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur, dengan sasaran untuk memangkin transformasi digital, memperkukuh ekosistem tempatan dan mengekalkan Malaysia di barisan hadapan evolusi digital global.
Katanya, pusat inovasi tersebut akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang ekstensif, membangunkan kes penggunaan 5G, menyokong syarikat pemula digital tempatan dan menyediakan pentas untuk memupuk pembinaan tenaga kerja berasaskan pengetahuan. – UTUSAN










