PETALING JAYA: Penggabungan Celcom dan Digi berisiko menyebabkan kedua-dua jenama itu kehilangan penguasaan pasaran dalam jangka masa terdekat.
Penyelidik Kenanga Investment Bank Berhad, Lim Khai Xhiang berkata, terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan kehilangan penguasaan tersebut iaitu kualiti perkhidmatan akibat integrasi rangkaian dan operasi serta pengkanibalan.
Menurut beliau, potensi gangguan perkhidmatan semasa integrasi mungkin menyebabkan pelanggan beralih kepada jenama lain.
“Pesaing berkemungkinan menggunakan ruang ini untuk menarik pelanggan Celcom-Digi Berhad (CDB),” katanya dalam nota kajian semalam.
Tambah Khai Xhiang, melihat kepada strategi dua jenama Axiata Group Berhad yang berjaya di Bangladesh (melibatkan jenama Robi dan Airtel) serta Indonesia (XL dan Axis), CDB dijangka akan mengekalkan kedua-dua jenama Celcom dan Digi.
Sehubungan itu, kata beliau, ia berpotensi mewujudkan situasi pengkanibalan, yang merujuk kepada penurunan jualan produk milik sesebuah syarikat kerana pengenalan produk baharu miliknya sendiri.
“Walaupun kedua-dua Celcom dan Digi mempunyai subtapak demokratik dan geografi yang berbeza, kami berpendapat beberapa situasi pengkanibalan tidak dapat dielakkan memandangkan produk mudah alih mereka hampir sama.
“Tanpa strategi bersasar, apa-apa manfaat daripada produk silang atau laris mungkin diatasi oleh pengkanibalan.
“Oleh itu, CDB boleh mengambil kesempatan daripada rangkaian yang teroptimum dan penyasaran subtapak yang jelas untuk merampas semula penguasaan pasaran selepas peralihan,” katanya.
Dua jenama telekomunikasi besar negara, Celcom dan Digi sah bergabung selepas Axiata, Telenor Asia Pte. Ltd. dan Digi.com Berhad mengumumkan telah menandatangani perjanjian transaksi penggabungan tersebut, kelmarin.
Menurut Axiata dan Telenor, pihaknya telah menyelesaikan langkah ketekunan wajar yang perlu dan Celcom Axiata Berhad bersama Digi akan membentuk entiti penyedia perkhidmatan digital
yang lebih berdaya tahan serta kukuh secara komersial, yang akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk mencapai impian pendigitalannya.
Menurutnya, syarikat gabungan (MergeCo) itu secara proforma dijangka akan menyediakan khidmat untuk 19 juta pelanggan dengan pendapatan RM12.4 bilion, EBITDA RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai (PAT) RM1.9 bilion dan aliran tunai bebas RM4 bilion, berdasarkan pencapaian tahun kewangan 2020. – UTUSAN









