Bugatti La Voiture Noire, kereta hiper bernilai RM55 juta - Utusan Malaysia

Bugatti La Voiture Noire, kereta hiper bernilai RM55 juta

BUGATTI La Voiture Noire menampilkan gaya mewah dan eksklusif. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bugatti sememangnya terkenal dengan model kereta super dan hiper yang mampu memecah rekod kelajuan atas jalan, namun keistimewaan La Voiture Noire hampir tiada tandingan.

Model pamerannya mula dipertontonkan kepada awam dalam Pameran Automotif Antarabangsa Geneva pada 2019,  namun pada Khamis lalu, Bugatti memperkenalkan versi siap kenderaan unik itu di ibu pejabatnya di Molsheim, Perancis.

Pemiliknya masih misteri namun keanggunan La Voiture Noire (diterjemahkan sebagai ‘kereta hitam’) akan menarik  perhatian sesiapa sahaja.

Kereta yang memberi penghargaan kepada model legenda Bugatti Type 57SC Atlantic yang hilang ketika Perang Dunia  Kedua itu adalah sepenuhnya unik dan istimewa kerana hanya satu dihasilkan di dunia, dan ia dilaporkan dijual pada harga 11 juta euro (RM55.25 juta).

Menurut portal Motor Authority, reka bentuknya berasaskan platform Chiron dan kuasanya turut datang dari enjin lapan  liter bercas turbo kuad Chiron dengan 1,577 kuasa kuda, lebih tinggi berbanding 1,480 kuasa kuda dalam enjin model Chiron.

Reka bentuk luarannya merupakan buah fikir Achim Anscheidt yang memasukkan beberapa ciri serupa dengan Type 57SC Atlantic iaitu garis dorsal dan barisan enam muncung ekzosnya.

Lampu belakangnya turut menyerupai ciri-ciri fender belakang kereta klasik tersebut.

Sesuai dengan namanya, kereta itu tampil dengan kemasan hitam penuh pada seluruh badan dengan bahagian kabin kulit berwarna coklat Havana.

Presiden Bugatti, Stephan Winkelmann berkata, La Voiture Noire memberi penghargaan kepada Type 57SC Atlantic yang
merupakan ikon kepada sejarah sarat jenama itu.

“Ketika itu, coupe itu begitu unik pada keanggunan, kualiti dan prestasinya, dan ia kekal sehingga hari ini. Sebuah kereta
hiper yang mewah.

“Bagi kami, kedua-duanya ialah inspirasi dan obligasi pada waktu yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN