PETALING JAYA: Maybank mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO), Datuk Amirul Feisal Wan Zahir hari ini, berkuat kuasa 15 Julai ini.
Menurut Maybank, Amirul Feisal memaklumkan beliau mengundurkan diri untuk mengambil-alih jawatan sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).
Desas-desus menyatakan, beliau akan menyertai syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang kini diketuai oleh Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Jelas Maybank, Amirul Feisal menyertai Kumpulan Maybank pada September 2008 sebagai Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan, Maybank Investment Bank.
“Beliau kemudian menyertai Permodalanan Nasional Berhad (PNB) pada September 2010, kemudian dipinjamkan ke Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) dan dilantik sebagai Penagrah Urusan Kumpulan syarikat tersebut pada 2011.
“Selepas itu, beliau menyertai semula Maybank sebagai Ketua, Perbankan Global Kumpylan pada Oktober 2014 dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO) pada Julai 2016.
“Amirul Feisal diiktiraf sebagaai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Terbaik untuk Perhubungan Pelabur (Syarikat Modal Besar) di Anugerah Perhubungan Pelabur Malaysia pada 2018,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, Amirul Feisal merupakan ahli yang penting dalam Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Maybank dan berkhimdt sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kredit Pengurusan Kumpulan, serta Pengarah Maybank Ageas Holdings Berhad dan Etiqa International Holdings Sdn. Bhd.
“Lembaga Pengarah dan Pengurusan Maybank mengucapkan terima kasih di atas kepemimpinannya dan sumbangan kepada Kumpulan, serta berharap yang terbaik dalam kerjaya masa depan beliau,” katanya.
Sementara itu, Maybank melantik Khalijah Ismail, yang menyandang jawatan Pengawal Kewangan Kumpulan sebagai Pemangku GCFO untuk menyelia fungsi Kewangan Kumpulan. – UTUSAN










