PETALING JAYA: Kerajaan disarankan supaya menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih pinjaman buruk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai salah satu strategi pemulihan ekonomi negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, langkah itu boleh dilaksanakan dengan kerajaan mela lui SPV mengambil alih pinjaman bank tersebut dan mengubahnya menjadi pinjaman sama ada tanpa faedah atau dengan faedah 0.25 peratus setahun, tetapi dalam jangka masa pembayaran yang lebih lama.
Dalam kajiannya bersama tiga penyelidik EMIR Research: Dr. Margarita Peredaryenko, Jason Loh dan Ameen Kamal, mereka mengambil kejayaan model Danamodal dan Danaharta yang dilaksanakan ketika Krisis Kewangan Asia.
Katanya, dalam mencontohi Danamodal dan Danaharta, SPV tersebut boleh menerbitkan bon kupon sifat bertaraf tiga A untuk pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), dana pencen dan syarikat insurans yang kemudiannya akan ditukar dengan pinjaman tak berbayar (NPL) daripada bank yang mengambil bahagian.
“Ataupun, PMKS meminjam daripada kerajaan melalui SPV untuk melunaskan hutang (sekali beri) bank-bank berkaitan (sekali lagi, sama ada tanpa faedah atau dengan faedah 0.25 peratus dan dalam jangka masa pembayaran lebih lama).
“Walau apa pun, pinjaman daripada SPV akan dicagarkan secara automatik melainkan ada persetujuan yang memberikan pengecualian,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada objektif pengurusan NPL, yang diletakkan sebagai objektif kelima dalam strategi pemulihan ekonomi negara oleh EMIR Research. Terdahulu, Deloitte Malaysia menjangkakan NPL meningkat apabila tempoh moratorium atau bantuan bayaran pinjaman bersasar tamat, terutamanya dari PMKS serta peminjam runcit.
Ketua Perkhidmatan Penstrukturan Semulanya, Khoo Siew Kiat berkata, risiko pinjaman tertunggak yang lebih tinggi meletakkan lebih tekanan kepada kebolehuntungan bank walaupun secara umumnya bank-bank di Malaysia mempunyai tahap modal yang baik dengan kadar NPL dan kos kredit yang rendah serta penimbal modal yang mencukupi.
Mengulas lanjut, EMIR Research berpendapat, penyusunan semula aset perniagaan yang gagal dalam industri pelancoingan dapat ditempatkan di bawah zon pelaburan pelancongan khas yang diperuntukkan Dasar Pelancongan Nasional 2020-2030 yang harus menjadi keutamaan segera oleh kerajaan.
Katanya, pemain yang terlibat dapat diaturkan di bawah zon ini untuk juga menarik dana asing sebagai sebahagian dari usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan.
“Untuk membantu isi rumah, Cagamas Berhad harus dikerahkan untuk membeli dan mengambil alih NPL perumahan,” katanya. – UTUSAN










