Alliance Bank sedia RM6 bilion untuk Bantuan Pelepasan Pembayaran - Utusan Malaysia

Alliance Bank sedia RM6 bilion untuk Bantuan Pelepasan Pembayaran

JOEL KORNREICH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alliance Bank sehingga kini telah menyediakan pakej Bantuan Pelepasan Pembayaran bernilai RM6 bilion dan hampir RM840 juta untuk lanjutan moratorium bagi pelanggan perniagaan dan individu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich, secara keseluruhannya, dianggarkan 15 peratus daripada pelanggan bank yang meminjam telah menyertai program bantuan pelepasan pembayaran itu.

Beliau berkata, pihak bank juga secara aktif menghubungi pelanggan yang sedang menyertai pakej bantuan pelepasan pembayaran sedia ada dan yang akan tamat tidak lama lagi, untuk membincangkan keadaan kewangan mereka bagi memohon penyusunan semula dan lanjutan tempoh pembayaran yang mungkin diperlukan.

Malah katanya, pihak bank memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka tidak akan terjejas jika memohon bantuan pelepasan pembayaran sebelum 31 Disember ini.

“Kami meneruskan usaha untuk menghubungi para pelanggan kami melalui pelbagai platform seperti laman web korporat dan saluran media sosial untuk memberitahu mereka tentang pilihan bantuan pelepasan  pembayaran yang disediakan.

“Kami turut mempromosikan Bantuan Pelepasan Pembayaran melalui papan-papan iklan jalan raya di 25 buah lokasi utama di Lembah Klang serta papan iklan digital yang melibatkan 12 buah pusat beli-belah dan 25 buah stesen minyak,” tambah beliau dalam kenyataan.

Kornreich menjelaskan, selain Bantuan Pelepasan Pembayaran yang ditawarkan oleh bank-bank, kerajaan juga turut menyediakan pelbagai dana bagi membantu pelanggan perniagaan berdepan dengan cabaran pandemik. 

Alliance Bank kata beliau, terus menyediakan kemudahan membuat permohonan untuk pelbagai skim sokongan ekonomi kerajaan. 

“Kami telah mengagihkan lebih RM600 juta Dana Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan tambahan RM120 juta lagi melalui Kemudahan  Bantuan dan Pemulihan Bersasar BNM,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, bank turut mengagihkan lebih RM800,000 bagi membantu para usahawan mikro dan komuniti rentan yang terjejas menerusi SocioBiz, platform pengumpulan dana sosial Alliance Bank. 

“Kami akan terus menyediakan kemudahan untuk membuat permohonan bagi mendapatkan dana bantuan kerajaan seperti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar, Kemudahan Usahawan Mikro dan  Kemudahan Teknologi Tinggi bagi pihak para pelanggan kami,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×