AirAsia Allstars jadi sukarelawan  - Utusan Malaysia

AirAsia Allstars jadi sukarelawan 

AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi Covid-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 300 AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di dua pusat vaksinasi Covid-19 iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Pusat Konvensyen Setia City.

Lebih 1,000 Allstars bakal mengambil bahagian sebagai sukarelawan untuk menjayakan program vaksinasi negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia Allstars terdiri daripada kru kabin, jurutera, kakitangan darat dan pegawai pejabat serta pihak pengurusan akan menjalankan tugas bukan perubatan termasuk mengalu-alukan kedatangan penerima vaksin, pemeriksaan dokumen dan membantu mereka dalam proses pendaftaran.  

Selain itu, katanya, sukarelawan AirAsia Allstars juga ditugaskan untuk membuat pengumuman dan memberikan taklimat mengenai gejala yang mungkin dialami selain menawarkan air mineral Pendang percuma kepada penerima vaksin.

“Saya berbangga dengan kakitangan kami terutamanya kru kabin yang memang terlatih dan berkelayakan untuk membantu dan menangani situasi perubatan, selain menjalankan tugas kawalan orang ramai di pusat vaksinasi Covid-19. 

“Saya percaya mereka teruja untuk kembali menyarung pakaian seragam dan melakukan tugas dengan sebaiknya membantu orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Tony, AirAsia adalah syarikat untuk semua dan pihaknya berbangga dapat memainkan peranan membantu kerajaan mempercepatkan kadar vaksin bagi mencapai sasaran 80 peratus populasi telah divaksin pada akhir tahun ini.

Malah katanya, AirAsia juga terlibat dalam proses pengangkutan vaksin dari Kuala Lumpur ke Kuching di Malaysia dan ke Vientiane di Laos.

“Kami komited untuk terus membantu masyarakat dalam apa jua cara dalam masa yang mencabar ini, dan mendorong lebih ramai orang untuk turut sama membantu mencapai sasaran vaksinasi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya