PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pembayaran agihan pendapatan berjumlah RM311.2 juta untuk dana harga tetapnya iaitu Amanah Saham Bumiputera 3-Didik (ASB3 Didik) dan dana harga berubah, Amanah Saham Nasional Equity (ASN Equity 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.
ASB3 Didik mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit, sementara ASN Equity 2 mencatatkan pulangan sebanyak 6.09 peratus untuk tahun kewangannya berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) pada 25 Jun 2021.
Menurut ASNB, agihan pendapatan ASB3 Didik melibatkan pembayaran berjumlah RM288.4 juta yang memanfaatkan 302,672 pemegang unit. Pulangan itu lebih tinggi berbanding RM275.4 juta yang diagihkan pada tahun kewangan 2020.
“ASB3 Didik telah mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM295.7 juta, peningkatan 17.6 peratus berbanding tahun lalu.
“Agihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah 240 mata asas mengatasi penanda aras 12 bulan Deposit Tetap Maybank dalam tempoh yang sama iaitu 1.85 peratus. Pengagihan 4.25 peratus oleh ASB3 Didik juga adalah lebih tinggi daripada pulangan harga Indeks Komposit KL FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) sebanyak 3.65 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, agihan pendapatan ASN Equity 2 juga mengatasi penanda aras berwajarannya sebanyak 0.75 peratus, yang diwakili oleh 80 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 20 peratus Deposit Tetap 12 Bulan Maybank.
“ASN Equity 2 juga mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 1.76 sen seunit kepada 34,567 pemegang unit, dengan dividen berjumlah RM22.8 juta. Pengagihan ini bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 3.45 peratus berdasarkan NAB dana pada 25 Jun 2021,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, prestasi kedua-dua dana ASB3 Didik dan ASN Equity 2 umumnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19.
Dana-dana itu juga katanya, mendapat manfaat daripada inisiatif kepelbagaian porftfolio masing-masing yang terus memberikan hasil positif, dengan peruntukan untuk pelaburan antarabangsa meningkat kepada 20 peratus.
“Pada masa yang sama, PNB terus meneroka peluang-peluang pelaburan baharu untuk membangunkan portfolio pelaburan yang berdaya tahan dan lestari dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah,” katanya. – UTUSAN










