8 negeri catat KDNK lebih baik berbanding nasional - Utusan Malaysia

8 negeri catat KDNK lebih baik berbanding nasional

SELANGOR antara lapan negeri yang mencatat KDNK lebih baik berbanding peringkat nasional pada tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapan negeri mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang lebih baik berbanding penguncupan 5.6 peratus KDNK peringkat nasional tahun lalu.

Negeri-negeri itu merupakan Wilayah Persekutuan Labuan dengan penguncupan 0.5 peratus; Kelantan (-1.1 peratus); Kedah (-1.7 peratus); Pulau Pinang (-2.1 peratus); Perak (-2.3 peratus); Negeri Sembilan (-3.6 peratus); Johor (-4.6 peratus) dan Selangor (-5.3 peratus).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi semua negeri di Malaysia tahun lalu, menyebabkan semua negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan mencatatkan pertumbuhan KDNK yang negatif.

Walau bagaimanapun, kata beliau, enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah kekal sebagai penyumbang utama KDNK nasional tahun lalu dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1 peratus, berbanding 72.3 peratus pada 2019.

“KDNK nasional merekodkan nilai pengurangan sebanyak RM80.4 bilion berbanding 2019. Berdasarkan perincian mengikut negeri, Selangor mencatatkan pengurangan tertinggi, iaitu sebanyak RM18.3 bilion diikuti Kuala Lumpur (RM17.5 bilion), Sarawak (RM9.6 bilion) dan Sabah (RM8.1 bilion)

“Keempat-empat negeri tersebut telah menyumbang 66.7 peratus kepada nilai penyusutan nasional.

“Secara umumnya, beberapa negeri dilihat menerima impak yang agak mendalam berbanding sebilangan negeri yang mempunyai asas struktur ekonomi yang mampu mengimbangi magnitud kemerosotan seperti di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Menurut Mohd. Uzir, penguncupan KDNK di negeri seperti Terengganu (-5.7 peratus), Melaka (-5.9 peratus) dan Pahang (-5.9 peratus) dipengaruhi terutamanya oleh kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sementara itu, untuk Perlis (-6.1 peratus) disebabkan kemerosotan sektor pertanian manakala sektor perkhidmatan mempengaruhi keseluruhan momentum Kuala Lumpur (-7.5 peratus).

“Kemerosotan pengeluaran bagi sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian pula telah menjejaskan negeri-negeri yang mempunyai kebergantungan berasaskan komoditi antaranya Sarawak (-7.1 peratus) dan Sabah (-9.5 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN