PETALING JAYA: Keuntungan bersih Sime Darby Berhad melonjak 89 peratus kepada RM1.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2021 sementara keuntungan bersih untuk suku ketiga yang berakhir pada 31 Mac lalu meningkat kepada RM300 juta berbanding RM115 juta untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan dua kali ganda itu disokong oleh prestasi kuat Bahagian Motor, terutamanya di China.
Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) kumpulan untuk suku ketiga tahun ini meningkat 75 peratus kepada RM463 juta, berbanding suku sama tahun lalu. Ini disebabkan oleh prestasi penjualan Motor China yang kukuh, dengan PBIT meningkat tiga kali ganda kepada RM125 juta.
Pendapatan keseluruhan untuk suku meningkat 31 peratus menjadi RM11 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Bahagian Motor terus menunjukkan prestasi yang baik pada suku ketiga tahun ini dipacu permintaan tinggi untuk kereta mewah, terutamanya di pasaran utama China dan Australasia.
Ujarnya, sekatan perjalanan antarabangsa telah mengubah perbelanjaan domestik kepada perbelanjaan untuk jenama premium dan mewah yang memberi manfaat kepada kumpulan, namun mencatat penurunan permintaan peralatan dan alat ganti dalam operasi bahagian Perindustrian di Australia.
“Sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan kami, syarikat usaha sama kami, Ramsay Sime Darby Health Care baru-baru ini melengkapkan pemerolehan Hospital Manipal di Klang, Selangor.
“Kami juga menyelesaikan penjualan kepentingan kami di Eastern & Oriental Berhad selaras dengan rancangan rasionalisasi aset bukan teras kami. Ini membolehkan kami memfokuskan usaha pada bahagian teras sekali gus memberi nilai maksimum kepada pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambah beliau, pihaknya turut menghadapi kesukaran disebabkan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada kakitangan dan operasi syarikat namun akan terus mengutamakan keselamatan pekerja berbanding semua pertimbangan lain.
Keuntungan bersih Sime Darby Berhad untuk sembilan bulan berjumlah RM1.2 bilion tidak termasuk keuntungan RM272 juta daripada penjualan sahamnya di Tesco Malaysia. – UTUSAN