PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi makro untuk memulihkan kembali ekonomi negara daripada hanya memulihkan ekonomi individu tertentu melalui bantuan kewangan sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, keadaan pada masa kini perlu kepada usaha memulihkan ekonomi secara makro iaitu bagaimana hendak memacu ekonomi secara keseluruhan dan tidak lagi memfokuskan kepada pemulihan bersasar.
Bagaimanapun katanya, sekiranya bantuan dilaksanakan kepada golongan sasaran, ia perlu difokuskan kepada mereka yang sangat memerlukan.
“Kerajaan kena galakkan atau tambah aggregate supply dan domestik supaya orang dapat berbelanja walaupun dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat sekali pun. Apabila perniagaan berjalan, orang akan membeli.
“Apabila kita galakkan permintaan, ia akan menggalakkan perbekalan agregat kerana kalau ada permintaan pasti akan ada orang yang membekal. Bukan dengan cara beri duit sahaja.
“Kerajaan juga perlu mempergiat aktiviti ekonomi projek-projek mega. Teruskan mana-mana projek yang tertangguh sebelum ini kerana ia dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan mewujudkan rantaian. Rantaian itu akan membangunkan sub-kontraktor yang melibatkan ramai individu dan syarikat.
“Kerajaan juga boleh meneruskan aktiviti projek pembinaan kecil-kecilan seperti membaiki parit, jalan kampung, surau dan sebagainya. Projek ini juga yang akan bagi rantaian. Dengan adanya projek kecil-kecilan seperti ini, ia dapat memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada syarikat-syarikat kecil,” katanya semalam.
Madeline berkata, kerajaan tidak boleh bergantung kepada pemberian bantuan kewangan semata-mata kerana ia hanya menambahkan beban kewangan kepada kerajaan.
“Selama ini terlalu banyak dah, sehinggakan lebih RM300 bilion diperuntukkan kepada semua peringkat umur yang melibatkan hampir semua rakyat Malaysia sama ada dalam bentuk tunai, pengurangan cukai dan sebagainya.
“Jadi sekarang, saya rasa tidak perlu lagi kerajaan beri bantuan kewangan sebab akan menambahkan beban kewangan kerajaan sahaja,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu menggalakkan perkara yang dapat menjana pendapatan kepada ekonomi secara keseluruhan dalam membantu pertumbuhan ekonomi dengan lebih pantas.
“Kita mesti bekerjasama memulihkan ekonomi negara dan bukannya hanya ekonomi individu tertentu sahaja. Itu yang saya sebut sebagai ekonomi makro,” katanya. – UTUSAN










