PETALING JAYA: Pengimport tunggal, pengedar dan pengilang kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. merekodkan jualan positif sebanyak 9,280 kenderaan Toyota dan Lexus pada April lalu.
Menurut UMW Toyota, pertumbuhan itu dipacu oleh pemulihan keyakinan dan meningkatnya kuasa membeli pelanggan yang secara langsung meningkatkan permintaan terhadap model-model baharu kenderaan Toyota.
Jelasnya, ia termasuk keinginan pelanggan memanfaatkan penjimatan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berakhir 30 Jun ini.
“Prestasi jualan April didorong juga oleh pengenalan model baharu Corolla Cross dan Harrier yang dilancarkan baru-baru ini. Ia merupakan usaha Toyota untuk memenuhi permintaan serta keperluan pelanggan generasi baharu yang semakin meluas dan meningkat,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkembangan tersebut, Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama berkata, penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan besar dan menjadikan keadaan sangat mencabar bagi pengeluar kenderaan serta pelanggan.
“Tetapi, dengan langkah yang diambil oleh kerajaan, ia telah berhasil untuk mengembalikan kekuatan kuasa membeli pelanggan,” katanya.
Takeyama turut mengaitkan pertumbuhan jualan itu dengan masa yang bagi bagi pengenalan beberapa model baharu yang berhasil memperkukuh kedudukan Toyota dalam beberapa segmen kenderaan, dengan cara meningatkan aspek kelengkapan serta teknologi keselamatan, penggayaan dan dinamik pemanduan.
“Kenderaan generasi baharu Toyota kekal boleh diharapkan, lasak, jimat untuk dimiliki serta sangat praktikal. Bukan itu sahaja, ia juga membawakan tahap baharu bagi keselesaan, prestasi dan keseronokan memandu yang menepati selesa serta keperluan pelanggan generasi baharu,” katanya.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota, Ravindran K. pula menekankan komitmen berterusan syarikat untuk memperluas serta meningkatkan lagi rangkaian jualan dan lepas jualan, serta pengenalan lebih banyak tawaran inovatif dan menarik sebagai tarikan kepada pelanggan.
UMW Toyota turut mengumumkan pembukaan pusat 2S (Jualan dan Servis) di Cheras, serta pembukaan dua lagi pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) di Johor Bahru dan Kemaman, Terengganu.
Sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, UMW Toyota menawarkan promosi Ganjaran Tak Terhingga yang membolehkan pelanggan terus menikmati penjimatan SST bagi kedua-dua model kenderaan pemasangan tempatan (CKD) atau diimport (CBU) sehingga 30 Jun ini. – UTUSAN










