TM menang anugerah kecemerlangan teknologi - Utusan Malaysia

TM menang anugerah kecemerlangan teknologi

Dr. Sharlene Thiagarajah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui unit inovasinya, TM Research & Deve­lopment (TM R&D) memenangi Anugerah Te­lekomunikasi Kecerdasan Buatan (AI) di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 yang disam­paikan oleh Singapore Business Review.

Anugerah diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian syarikat itu dalam membangunkan Patrol sebagai bukti fungsi untuk penyelidikan khususnya bagi pengesanan pembinaan secara automatik menggunakan dashcam kende­raan dan menghasilkan amaran proaktif menggunakan AI dan algoritma pembelajaran mesin.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, anugerah itu dorongan besar dalam memperlihatkan bagaimana AI dapat diguna pakai untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian.

“Anugerah ini ditujukan kepada pasukan yang telah memberikan hasil kerja yang luar biasa. Kami berharap ia akan memberi mereka dorongan untuk meneroka lebih banyak inovasi untuk TM ke arah memacu Digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah itu adalah yang keempat diterima oleh TM R&D dalam tempoh tiga tahun penganjurannya.

Majlis penganugerahan itu mengiktiraf pencapaian luar biasa syarikat-syarikat yang berjaya mempelopori produk IT, penyelesaian dan projek-projek teknologi inovatif dalam industri masing-masing untuk meningkatkan ekonomi Malaysia yang berkembang pesat.

Sharlene berkata, Patrol telah dibangunkan untuk memberi amaran awal di kawasan-kawasan yang mana infrastruktur TM berisiko tinggi untuk mengalami kerosakan disebabkan kerja-kerja pembinaan dan sivil oleh pihak ketiga.

Katanya, sebelum kerja-kerja pembinaan atau sivil dimulakan, pihak kontraktor perlu mendapatkan nasihat TM dan syarikat utiliti lain untuk memastikan langkah pencegahan yang wajar diambil bagi mengelakkan pemotongan kabel telekomunikasi atau infrastruktur utiliti lain seperti air atau pembetungan.

“Pemotongan kabel akan menyebabkan gangguan perkhidmatan jalur lebar dan telekomunikasi lain yang akan menimbulkan kesulitan terhadap gaya hidup dan perniagaan pengguna, serta memberi implikasi teruk kepada operasi syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, Patrol memanfaatkan AI, keupayaan pengesanan objek dan Segalanya Internet (IoT) untuk mengesan kawasan pembinaan menggunakan dashcam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN