PETALING JAYA: Sunway REIT Management Sdn. Bhd. mencatatkan hasil kasar sebanyak RM104.3 juta dan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM67 juga untuk suku ketiga berakhir 31 Mac 2021.
Kedua-dua nilai tersebut menurun berbanding RM140.8 juta dan RM103.5 juta masing-masing yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Pengurus Dana Pelaburan Harta Tanah (REIT) Sunway itu berkata, penurunan tersebut sebahagian besarnya disebabkan sumbangan yang lebih rendah dalam segmen hotel dan runcit akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Walau bagaimanapun, jelasnya, sebahagian daripadanya diserap sumbangan yang lebih tinggi dalam segmen pejabat dan perkhidmatan.
“Segmen runcit merekodkan hasil kasar dan NPI sebanyak RM53.7 juta dan RM23.9 juta masing-masing. Pada suku sama tahun lalu, segmen runcit mencatatkan hasil kasar dan NPI sebanyak RM98.3 juta dan RM67.1 juta masing-masing.
“Prestasi kewangan segmen runcit menurun kerana operasi perniagaan yang dikurangkan disebabkan sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan sepanjang PKP 2.0,” katanya dalam kenyataan.
Secara keseluruhan untuk sembilan bulan pertama 2021 (9M2021), Sunway REIT mencatatkan hasil kasar sebanyak RM307.5 juta dan NPI sebanyak RM201.1 juta.
Dalam tempoh sama tahun lalu, syarikat itu merekodkan hasil kasar dan NPI sebanyak RM452 juta dan RM339.2 juta masing-masing.
“Prestasi kewangan Sunway REIT menyusut akibat pelbagai peringkat sekatan pergerakan yang memberi kesan kepada operasi perniagaan dalam segmen runcit dan hotel.
“Walau bagaimanapun, penyusutan itu sebahagiannya diserap sumbangan yang lebih besar dalam segmen pejabat dan perkhidmatan,” kata syarikat itu. – UTUSAN










