PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Skyways Technics memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk perluasan hab serantau Asia Pasifik di Lapangan Terbang Subang.
MAHB dalam satu kenyataan berkata, perjanjian tersebut menandakan satu lagi kemajuan signifikan dalam Pelan Regenerasi Lapangan Terbang Subang.
Kata syarikat pengurusan lapangan terbang itu, hab tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) hujung ke hujung sepenuhnya merangkumi hangar MRO dengan rangka udara dasar dan garis, bengkel membaiki komponen, pusat pengedaran kelengkapan dan perkhidmatan pesawat atas darat (AOG) dalam rantau Asia Pasifik.
“Kerjasama ini menandakan komitmen MAHB untuk memperkukuh kedudukan Lapangan Terbang Subang sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan serta tahap keyakinan pemain industri aeroangkasa global seperti Skyways Technics untuk memperluas operasi serantaunya di sini.
“Dengan libat urus yang aktif seperti ini sebagai sebahagian daripada inisiatif lima tahun Regerasi Lapangan Terbang Subang, lapangan terbang ini dijangka menjadi hab MRO pilihan Asia Pasifik untuk pesawat ATR dan serantau, menarik RM1 bilion dalam pelaburan asing dan domestik,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Skyways Technics merupakan syarikat yang berpangkalan di Denmark dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam penyelenggaraan pesawat serantau seperti ATR, perkhidmatan MRO komponen pesawat dan sokongan alat gantian.
Syarikat itu membangunkan ibu pejabat Asia di luar Denmark di Lapangan Terbang Subang pada 2014 dengan hanya satu bengkel membaiki komponen.
Ketua KLIA Aeropolis, Randhill Singh berkata, hasrat Skyways Technics untuk memperluas kemampuannya dan berkembang di Asia Tenggara sejajar sepenuhnya dengan strategi Regenerasi Lapangan Terbang Subang MAHB yang mahu meletakkan lapangan terbang itu sebagai hab turboprop Asia Pasifik dan memenuhi permintaan penyelenggaraan ATR di rantau ini.
“Aktiviti MRO dalam rantau ini dijangka bertumbuh sehingga 150 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan nilai AS$21.7 bilion (RM89.55 bilion).
“Lapangan Terbang Subang sudah lebih daripada bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada hab Asia Pasifik Skyways Technics yang telah diperluas yang akan memanfaatkan operator ATR dan pusat MRO, membolehkan ia memenuhi permintaan serantau,” katanya. – UTUSAN










