Sasar francaiskan Mak Long Mart - Utusan Malaysia

Sasar francaiskan Mak Long Mart

Hasnah Abdul Samad menunjukkan produk yang dijual di Mak Long Mart, Puncak Alam baru-baru ini. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, namun bagi ahli perniagaan, Datin Hasnah Abdul Samad, perkara itu bukan halangan baginya untuk membuka pasar raya, Mak Long Mart yang terletak di Puncak Alam.

Bagi Hasnah, 47, beliau nekad membuka sebuah pasar raya di kawasan tersebut pada November tahun lalu kerana kesukaran penduduk setempat membeli barangan keperluan asas.

“Kekurangan pasar raya di sini menyebabkan saya dan penduduk setempat sukar membeli barangan. Setelah berbincang dengan suami, Datuk Shahrul Nizam Mustapa, kami mengambil keputusan untuk membuka sebuah pasar raya bagi memudahkan penduduk setempat.

“Selain itu, ramai belia di kawasan ini yang menganggur dan kehilangan kerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkara ini membuatkan saya tekad untuk membuka Mak Long Mart.

“Alhamdulillah, dengan berbekalkan modal perniagaan RM600,000, saya berjaya membuka sebuah pasar raya dengan mempunyai seramai 15 kakitangan” katanya ketika ditemui di Mak Long Mart, Bandar Puncak Alam, di sini baru-baru ini.

Menceritakan lanjut, Hasnah berasal dari Kapar berkata, membuka sebuah pasar raya bukanlah perkara mudah kerana antara cabaran ialah mencari bangunan yang sesuai dan strategik.

“Malah, di awal pembukaan pasar raya ini, saya telah ditipu seorang pembekal sayur-sayuran tahun lalu apabila dia menghantar dua lori sayur ke kedai sedangkan tempahan yang dibuat bernilai RM500 sahaja.

“Tidak mahu bertengkar dengannya, saya terus membayar harga kesemua sayur berkenaan bernilai lebih RM7,000 dan sedekahkannya kepada penduduk di sekitar Puncak Alam. Namun, inilah cabaran dalam memulakan perniagaan yang perlu ditempuhi,” katanya.

Beliau menyasarkan untuk membuka sebuah Mak Long Mart setiap tahun di seluruh negara setelah mendapat banyak permintaan daripada banyak pihak yang mahu pasar raya itu difrancaiskan.

“Saya berharap orang ramai memilih untuk membeli barangan keperluan asas di Mak Long Mart kerana harga yang ditawarkan bagi kesemua barang itu berpatutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN