Prestasi pasaran saham masih dihantui pandemik - Utusan Malaysia

Prestasi pasaran saham masih dihantui pandemik

PRESTASI pasaran saham berasaskan keyakinan dan sentimen pelabur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham negara masih dihantui pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menyebabkan sentimen pasaran keseluruhan melemah.

Trend ini dapat dilihat apabila penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI susut 10.80 mata untuk ditutup pada 1,580.52, semalam.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, momentum bursa saham telah merosot sejak beberapa bulan lalu namun jika dibandingkan dengan Mei tahun lalu, prestasinya masih stabil.

Bagaimanapun katanya, ber­asaskan kepada pusingan ekonomi, bursa sepatutnya sudah melewati tahap 1,700 namun merudum disebabkan carry forward effect.

“Pasaran saham adalah berasaskan keyakinan dan sentimen pelabur, jadi ia merudum disebabkan pandemik. Ini bertentangan dengan trend yang sepatutnya kerana prestasi syarikat dalam beberapa sektor seperti pembuatan sarung tangan dan elektronik di negara ini menunjukkan peningkatan.

“Oleh itu, kita perlu berusaha meningkatkan keyakinan pelabur. Memang tidak mudah terutama untuk negara kecil seperti Malaysia, jadi kita cuba mengehadkan kesan sentimen dengan menunjukkan ekonomi negara sedang berkembang dan menuju pemulihan.

“Sekiranya kita kekalkan keyakinan, indeks bursa kita akan kekal dalam lingkungan 1,600 mata dan mencapai sasaran 1,650 mata pada penghujung tahun ini. Apabila keadaan pusi­n­gan ekonomi makin positif, kita mampu melangkaui 1,700 mata pada pertengahan 2022,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Barjoyai, selain itu, indeks saham negara turut terkesan dengan penyusutan indeks Dow Jones di New York, Nikkei di Jepun dan STI di Singapura disebabkan krisis Palestine.

“Apabila indeks saham utama ini merudum, sedikit-sebanyak memberi kesan kepada sentimen pelaburan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, prestasi bursa merudum disebabkan apa yang berlaku di Amerika Syarikat, mengakibatkan Dow Jones jatuh secara mendadak melebihi 267 mata semalam.

“Ini mungkin berkaitan de­ngan kejatuhan mendadak nilai matawang kripto, Bitcoin namun saya jangkakan semua ini hanya memberi impak yang sementara sahaja kepada Bursa Malaysia,” jelasnya.

Semalam, Dow Jones di New York menyusut 267.13 mata dan ditutup pada 34,060.66 mata, Nikkei di Jepun menyusut 362.39 mata dan untuk ditutup pada 28,044.45 mata, manakala STI Singapura ditutup pada 3,104.21 setelah menyusut 38.42 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN