Pharmaniaga catat keputusan memberangsangkan suku pertama 2021 - Utusan Malaysia

Pharmaniaga catat keputusan memberangsangkan suku pertama 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad mencatatkan keputusan memberangsangkan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, dengan untung selepas cukai RM23 juta, walaupun menghadapi permintaan lebih rendah akibat gelombang baharu kes Covid-19.

Prestasi Kumpulan adalah lebih baik berbanding untung selepas cukai RM22 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Menurut Pharmaniaga, pencapaian kukuh Kumpulan disokong oleh kos pembiayaan lebih rendah daripada langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), serta kejayaan mengurangkan kos operasi menerusi proses kawalan kos yang terus dilaksanakan di seluruh Kumpulan.

Katanya, untung sebelum zakat dan cukai juga meningkat kepada RM32 juta manakala hasil berjumlah RM793 juta dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

“Dari sudut operasi hadapan, perniagaan Kumpulan di Malaysia mencatatkan prestasi yang konsisten, namun terdapat penurunan permintaan daripada perniagaan Indonesia akibat pandemik Covid-19 yang berterusan, telah menjejaskan pendapatan.

“Namun begitu, Kumpulan tetap komited untuk menjana nilai bagi pemegang saham dan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 4 sen sesaham. Dividen akan dibayar 6 Julai ini kepada pemegang saham tersenarai dalam daftar pada 8 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md. Eusope berkata, memandangkan suasana mencabar akibat Covid-19 yang dijangka berlarutan lebih-lebih lagi dengan gelombang kes baharu di seluruh dunia, Kumpulan kini memberi tumpuan membekal dan mengedarkan vaksin Covid-19.

“Usaha ini menjadi keutamaan Kumpulan dan kami berbangga untuk terus diamanahkan dengan tugas sangat penting ini dalam perjuangan Malaysia menentang pandemik.

“Kami sudah mencapai kemajuan besar dalam aspek ini dengan kelulusan pantas diberikan oleh Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan untuk mengeluarkan vaksin Covid-19 Sinovac menerusi kaedah isi dan siap. Pengedaran vaksin kepada kerajaan bermula pada Mei 2021,” katanya.

Tambah Zulkarnain, di samping itu, Kumpulan telah membeli 400,000 dos produk siap Covid-19 Sinovac dan berjaya menyempurnakan pengedarannya kepada kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

“Kami juga berbangga kerana dilantik untuk menguruskan logistik dan pengedaran vaksin AstraZeneca kepada kemudahan kerajaan yang kini sedang kami laksanakan.

“Tambahan lagi, sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan mampan jangka panjang yang dipacu oleh inisiatif-inisiatif penting yang kami laksanakan, kami bercadang mempercepatkan pertumbuhan perniagaan pembuatan vaksin kami dengan memulakan projek vaksin Halal.

“Usaha ini bakal menyaksikan Kumpulan menubuhkan kemudahan vaksin Halal pertama, yang dijangka siap menjelang 2022, lantas menghasilkan aliran pendapatan baharu bagi Kumpulan menjelang 2024,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN