PETALING JAYA: Pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS Subang) yang merupakan antara 39 lapangan terbang dalam konsesi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh entiti lain, akan memberikan impak negatif kepada pengendali lapangan terbang itu.
Pakar penerbangan, Jaafar Zamhari berkata, sekiranya WCT Holdings mengambil alih LTSAAS Subang, ia boleh disamakan dengan jalan cerita The Camel and The Arab yang pada mulanya memberi peluang namun akhirnya memakan diri.
“MAHB telah dan akan membelanjakan peruntukan besar untuk membangunkan LTSAAS Subang sebagai Aerospace Park dan pengambilalihan tersebut akan merencatkan pembangunan tersebut serta menyebabkan kerugian.
“Perkara ini turut memberi impak kepada ekonomi negara. Selain itu, keselamatan penerbangan akan terjejas apabila LTSAAS Subang berpotensi tinggi menjadi hab kepada aktiviti haram seperti pengubahan wang haram dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas gesaan kesatuan dalam MAHB untuk menamatkan kerjasama dengan WCT Holdings, Jaafar berkata, kuasa dan kekuatan terletak kepada MAHB.
“Namun, ia mempunyai obligasi operasi teknikal terhadap Skypark. Contohnya, perkhidmatan keselamatan harus diteruskan kerana Skypark atau WCT tiada kelayakan menjaga keselamatan penerbangan.
“Pihak MAHB boleh mengambil alih pengendalian pesawat persendirian dan pesawat awam (General Aviation) lain di Subang kalau mereka mahu. Namun, sejak 2007 lagi MAHB telah memberi ruang dan bekerjasama dengan Skypark untuk beroperasi di Subang.
“Untuk Skypark menyambung pajakan tanah boleh diterima namun mengambil alih LTSAAS Subang sepenuhnya adalah amat tidak wajar,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, penswastaan dalam pengurusan dan operasi sesebuah lapangan terbang adalah perkara biasa kerana ia berlaku di kebanyakan lapangan terbang di dunia.
“Malaysia juga telah mengikuti proses penswastaan lapangan terbang dengan terbentuknya MAHB yang mengoperasikan 39 lapangan terbang,” tambahnya.
Minggu lalu, ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim, yang merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Berhad dikatakan merancang untuk mengambil alih LTSAAS Subang membabitkan nilai RM3.7 bilion melalui anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn. Bhd. (SSSB). Bagaimanapun syarikat itu menjelaskan, rancangan bukan membabitkan pengambilalihan sebaliknya hanya konsesi semula. – UTUSAN










