OCBC Bank, MFP Solar bekerjasama - Utusan Malaysia

OCBC Bank, MFP Solar bekerjasama

Ppemandangan dari udara panel solar yang dipasang di atas bumbung sebuah bangunan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Bank Malaysia Berhad (OCBC Bank) dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) telah memeterai perjanjian untuk Kemudahan Pinjaman Bertempoh Hijau berbilang bahagian yang dinilai pihak luar untuk MFP Solar Sdn. Bhd. (MFP Solar).

Pinjaman tersebut menyediakan kemudahan berjumlah RM100 juta daripada OCBC Bank kepada MFP Solar yang akan digunakan untuk membiayai pembangunan loji-loji fotovoltan solar atas bumbung di bawah struktur kemudahan pembiayaan induk tunggal.

Pengarah Urusan, Pegawai Kanan Liputan Pelanggan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin berkata, transaksi itu merupakan satu lagi mercu jaya bagi pembangunan pasaran pembiayaan lestari domestik, terutamanya untuk menekankan pentingnya pinjaman hijau.

“Sebagai bank yang komited untuk menyokong pembangunan lestari, kami memainkan peranan aktif untuk membantu perniagaan pelopor teknologi yang berusaha mengurangkan risiko berkaitan perubahan iklim.

“Kami telah mengambil satu lagi langkah untuk menentusahkan struktur pinjaman hijau dengan mendapatkan penilaian MARC dan amat gembira kerana telah mencapai piawaian Emas tertinggi,” katanya dalam kenya­taan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Datuk Jamaludin Nasir memberitahu, penarafan ‘emas’ ialah penilaian tertinggi pada skala MARC untuk instrumen pembiayaan hijau.

Ujarnya, dalam memberikan penarafan itu, pihaknya mempertimbangkan kesan alam sekitar positif projek solar atas bumbung yang bakal dibiayai, pematuhan kemudahan kepada Prinsip Pinjaman Hijau terma­suk penggunaan penilaian luar bagi pinjaman hijau dan juga prestasi kelestarian yang diunjurkan bagi MFP Solar.

Tambahya, projek yang la­yak akan menyokong matlamat mengurangkan perubahan iklim negara selain menggalakkan penggunaan tenaga bersih sektor korporat dan penyediaan sistem bekalan tenaga lestari.

Pada Ogos tahun lalu, MFP Solar telah melaksanakan projek sulung dibiayai di bawah kemudahan ini dengan membangunkan loji solar 1.5 MWp untuk VAT Manufacturing Sdn. Bhd., sebuah pengilang injap kejituan tinggi yang berpangkalan di Batu Kawan, Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya