PETALING JAYA: Ahli kumpulan MMC, Northport Malaysia Berhad menzahirkan komitmennya sebagai organisasi korporat yang bertanggungjawab dengan membantu golongan yang memerlukan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sepanjang Ramadan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, program program CSR itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam membantu komuniti yang kurang bernasib baik.
“Kami terus memainkan peranan kami sebagai petugas barisan hadapan di kala krisis Covid-19 bagi memastikan ekonomi negara dan keperluan asas rakyat Malaysia tidak terjejas.
“Saya harap program-program itu dapat membantu masyarakat menerapkan semangat kebersamaan di bulan suci Ramadan dan kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana norma baharu,” katanya dalam kenyataan.
Northport dalam kenyataan memberitahu, pada 19 dan 24 April lalu, syarikat itu dan Rejimen Pakar Pengendalian Pelabuhan ke-40, Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) telah menyertai program tersebut dengan mengedarkan 200 pek barangan keperluan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang kurang berkemampuan di sekitar Klang.
Jelasnya, bagi menjayakan program itu, Northport telah bekerjasama dengan Masjid Ahmadi, Kampung Rantau Panjang, Masjid As-Saadah, Bandar Sultan Suleiman dan Masjid Jamek Samadiah, Pelabuhan Klang, untuk membantu mengenal pasti penerima yang layak.
“Sebagai penghargaan kerja keras dan komitmen pemandu haulier yang merupakan antara petugas barisan hadapan untuk industri perkapalan dan logistik, kami telah mengedarkan bungkusan makanan berbuka puasa di get-get terminal kontena kepada pemandu-pemandu haulier dari 19 hingga 21 April lalu,” katanya. – UTUSAN