Masa depan sektor penerbangan malap - Utusan Malaysia

Masa depan sektor penerbangan malap

Perkhdmatan berkualiti yang diberikan oleh KLIA membolehkan lapangan terbang itu dinobatkan antara terbaik di dunia menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan sektor penerbangan suram berikutan peningkatan kes wabak Covid-19 dan sekatan perjalanan yang masih berterusan sehingga kini.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sektor penerbangan adalah antara sektor yang berintensifkan modal yang astronomikal.

“Dengan penyelesaian kepada pandemik Covid 19 yang masih samar-samar, masa depan sektor penerbangan di negara kita khususnya dua syarikat yang besar, Malaysia Airlines Berhad dan AirAsia X Bhd. (AAX) dilihat agak malap.

“Untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat itu memerlukan suntikan dana yang terlalu besar. Dengan kekangan kewangan kerajaan, ia hampir mustahil untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi apabila kerajaan mempunyai banyak komitmen yang perlu difikirkan untuk membina kembali ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun jelasnya, golongan yang diberhentikan kerja oleh syarikat-syarikat itu perlu dibantu dengan menyerap kembali mereka ke sektor lain untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Sementara itu, Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, hanya 30 daripada kira-kira 700 syarikat penerbangan dianggarkan akan kekal dalam lima tahun akan datang.

“Singapore Airlines, antara syarikat penerbangan yang terbesar di dunia, telah melaporkan kerugian sebanyak AS$3.2 bilion (RM13.25 bilion) tahun lalu. Itu menunjukkan kerugian yg berlaku kepada AAX bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Industri penerbangan sudah dijangka akan mengalami cabaran baharu dan pandemik Covid-19 merupakan alasan pertamanya,” katanya.

Menurutnya, sektor itu akan hilang tarikan kerana para pelabur juga tidak akan me­labur ke dalam sektor penerbangan buat masa ini berikutan permintaan yang semakin berkurang.

Ujarnya, buat masa ini syarikat-syarikat penerbangan tiada pilihan lain selain memberhentikan pekerja mereka.

Bagaimanapun jelasnya, sektor penerbangan mugkin boleh mewujudkan cara baharu untuk mengambil pekerja dengan menandatangani kontrak perkhid­matan yang membolehkan pekerja bekerja lebih dari satu syarikat penerbangan.

“Itu akan memberi fleksibiliti kepada pekerja industri ber­kenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Selain itu, untuk menarik orang ramai supaya datang ke lapangan terbang, syarikat-syarikat boleh menggunakan kreativiti menjadikan pesawat-pesawat yang ada sebagai restoran untuk pelanggan menjamu selera,” kata Barjoyai.

AAX kelmarin mengumumkan prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2021 dengan kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM5.6 bilion, sementara perolehan syarikat susut 29.6 peratus suku ke suku kepada RM38.49 juta.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, semua syarikat penerbangan terpaksa mengubah model perniagaan dan mencari strategi baharu yang sesuai de­ngan keperluan pasaran norma baharu.

“Syarikat penerbangan perlu mengubah strategi logistik de­ngan menyediakan lebih pesawat kargo berbanding penumpang.

“Mungkin dahulu ada pesawat khusus untuk penum­pang dan kargo, tetapi kini suasana persekitaran norma baharu memerlukan pemikiran di luar kotak dimana reka bentuk pesawat juga perlu diubah mengikut kesesuaian,” jelas­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN