Keuntungan S1 AEON naik 194 peratus - Utusan Malaysia

Keuntungan S1 AEON naik 194 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai AEON Co. (M) Bhd. (AEON Malaysia) untuk suku pertama tahun ini melonjak 194 peratus kepada RM22 juta berbanding hanya RM7.5 juta suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan operasi dan keuntungan sebelum cukai AEON turut meningkat masing-masing RM72.7 juta dan RM41.8 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM64 juta dan RM25.4 juta.

Prestasi memberangsangkan ini dipacu pendekatan tangkas, keusahawanan dan “genba” syarikat dalam bertindak balas terhadap wabak Covid-19 yang mengakibatkan peningkatan margin kasar barangan, perubahan kaedah pemasaran dan struktur pengurangan kos yang berterusan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata, prestasi itu adalah bukti sokongan berterusan daripada pelanggan, rakan kongsi dan pembekal serta dedikasi yang ditunjukkan oleh pekerja AEON.

“Kita akan teruskan momentum positif dan berusaha untuk memperoleh pulangan kewangan yang lebih besar bagi memastikan pihak berkepentingan iaitu pekerja, pelanggan, rakan kongsi, pemegang saham dan pelabur dijaga dengan baik. 

“Walau apa pun cabaran, kami akan meningkatkan keberkesanan pasaran barangan, mengukuhkan strategi pasaran kami dan meningkatkan penyampaian perniagaan kami agar sesuai dengan pasaran yang berubah-ubah,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, AEON sentiasa berhasrat mewujudkan ruang runcit lestari yang berhubung dengan zon hidup komuniti tempatnya beroperasi. 

“Selain itu, kami juga ingin meningkatkan pengalaman pelanggan sejajar dengan falsafah AEON yang mengutamakan pelanggan. Kami teruja dengan potensi besar pendekatan New Retail offline-to-online kami yang akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini menerusi kerjasama dengan platform e-dagang BOXED,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN