PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama (S1) 2021 dijangka hanya sekitar 0.5 hingga satu peratus, berdasarkan situasi pandemik Covid-19 yang masih di tahap membimbangkan sekali gus memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekatan yang dikuatkuasakan semula itu menyebabkan banyak aktiviti ekonomi terencat, terutamanya ketika musim perayaan semakin hampir.
“Sikap mengambil mudah dalam mendaftar untuk program imunisasi kebangsaan turut menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Namun jika harga komoditi seperti minyak dan minyak sawit kekal tinggi dan program imunisasi berjalan lancar, proses pemulihan ekonomi akan mula menunjukkan peningkatan yang lebih positif terutamanya pada separuh tahun kedua 2021,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual membentangkan laporan KDNK suku pertama 2021 secara maya hari ini.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid memaklumkan, peningkatan harga minyak sawit mentah melebihi RM4,000 satu tan dan perkembangan positif nilai ringgit (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh pada RM4.10 baru-baru ini membantu proses pemulihan ekonomi negara.
“Kadar inflasi juga dijangka meningkat bersesuaian dengan perkembangan ekonomi, terutamanya didorong kenaikan harga bahan api. Secara makro, ekonomi berada di dalam landasan yang terbaik untuk memulakan pemulihannya dari suku pertama.
“Bagaimanapun, penggunaan domestik masih belum pulih kerana pelaksanaan PKP dan permintaan domestik merupakan komponen utama dalam menyumbang kepada perkembangan KDNK negara,” ujarnya.
Tambah beliau, sektor peruncitan dan pelancongan masih lagi mengalami kemerosotan ekoran pelaksanaan PKP yang berlarutan namun sektor permotoran berkembang baik berdasarkan laporan rekod jualan oleh Proton dan Perodua, kesan insentif pengecualian cukai sehingga pertengahan tahun ini.
“Untuk terus memulihkan situasi, ekonomi domestik perlu terus dibantu. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro perlu terus beroperasi kerana ia menyumbang lebih 30 peratus KDNK.
“Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan cara supaya perniagaan mereka dibenarkan semula demi kesinambungan mata pencarian, tetapi harus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat selain mencari strategi jangka panjang seperti membentuk ekosistem baharu,” ujarnya. – UTUSAN










