Kaji semula cairan pegangan LTSAAS - Utusan Malaysia

Kaji semula cairan pegangan LTSAAS

LTSAAS masih menjadi nadi kepada pengangkutan udara di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airlines Holding Berhad (MAHB) menggesa kerajaan mengkaji semula sebarang hasrat untuk mencairkan pegangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS Subang) kepada mana-mana pihak swasta.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau memandang serius berita yang telah disiarkan oleh pelbagai media dan beberapa individu mengenai cadangan kepada pihak kerajaan tentang pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta.

“Lapangan terbang secara umumnya adalah aset strategik hak milik negara, tambahan lagi LTSAAS yang merupakan sebuah lapangan bersejarah negara dan dekat di hati rakyat Malaysia.

“Oleh itu, sudah tentu sebarang langkah dalam membenarkan kendalian pihak swasta perlu difikirkan secara mendalam, baik dari segi aspek keselamatan dan pertahanan, mahupun hak milik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zambry Abd. Kadir

Menurut beliau, LTSAAS sejak penubuhannya telah berjaya menjadi pencetus kepada pembangunan industri penerbangan yang besar buat negara, terutamanya dalam industri aeroangkasa.

“Sehubungan itu, pihak MAHB telah memberi perhatian khusus dalam merancang hala tuju jangka panjang LTSAAS di bawah rangka kerja pelan induk Subang Airport Regeneration Master Plan.

“Saya yakin setelah mendengar pandangan MAHB dan lain-lain agensi berkaitan, pihak kerajaan tidak akan mengorbankan sebuah aset strategik negara,” tambahnya.

MAHB mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Malah, beberapa lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB baik di Malaysia mahupun di Turki kerap mendapat pengiktirafan global dalam aspek perkhidmatan dan juga pertumbuhan jumlah penumpang.

Minggu lalu, ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim, yang merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Berhad dikatakan merancang untuk mengambil alih LTSAAS Subang membabitkan nilai RM3.7 bilion melalui anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn. Bhd. (SSSB). Bagaimanapun syarikat itu menjelaskan, rancangan bukan membabitkan pengambilalihan sebaliknya hanya konsesi semula.

Cadangan itu sudah dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan anggaran pelaburan awal RM3.7 bilion, di mana RM1.7 bilion akan digunakan untuk terminal penumpang dan jet eksklusif yang dijangka dibuka 2027.

Kesatuan MAHB di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah dan Labuan pula menggesa MAHB menyingkirkan WCT Holdings sebagai rakan perniagaannya berikutan tawaran konsesi semula untuk LTSAAS Subang.

Pihak kesatuan berpendapat, kerana pembangunan LTSAAS Subang yang pesat, pendapatan operasinya telah diagihkan secara adil di antara 39 lapangan terbang yang dikendalikan oleh MAHB sekitar negara.

Oleh itu, pihaknya tidak boleh menyerah dan membiarkan WCT Holdings mengambil kesempatan kerana kesatuan pekerja mendakwa ia mungkin didorong oleh orientasi keuntungan tanpa memperhatikan kesan terhadap seluruh sektor penerbangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya