fbpx

15 Jun 2021, 8:28 am

  TERKINI

Jasin bakal jadi hab sarung tangan

SULAIMAN Md. Ali (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Justin Lim (dua dari kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Fanar Excellence Sdn. Bhd., Hazrat Jasni (dua dari kanan) di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kenteam Asia Glove Harp. Sdn. Bhd. (Kenteam) memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Sheng Tai Construction Sdn. Bhd. (STI) sebagai kontraktor utama untuk kerja-kerja pembinaan hab sarung tangan di Jasin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kenteam, Datuk Seri Justin Lim berkata, STI bertanggungjawab untuk mereka dan membina fasiliti pengeluaran di tanah seluas 36.42 hektar.

Katanya, kemudahan tersebut akan menempatkan 110 barisan pengeluaran sarung tangan.

“Hampir RM2 bilion dilaburkan untuk membina barisan pengeluaran dan ia tidak termasuk kos pembinaan fasiliti lain seperti pensterilan.

“Kerja-kerja sivil dan pembinaan infrastruktur dijangka siap dalam tempoh enam bulan manakala barisan pengeluaran sarung tangan akan disiapkan secara berfasa dalam 12 bulan,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian antara Kenteam dan vendor di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Presiden Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley.

Menurut Justin, pihaknya mahu melaksanakan segera projek berkenaan selepas mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19.

“Ini termasuk kadar penggunaan sarung tangan yang semakin meningkat. Oleh itu, pelantikan kesemua rakan teknikal dan kontraktor dapat melancarkan lagi kerja-kerja pembinaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lim berkata, apabila hab itu beroperasi kelak, ia akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Jelas beliau, pihaknya mahu menggunakan tenaga kerja tempatan semaksimum mungkin susulan kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja asing ketika ini. – UTUSAN