Bantuan bayaran balik bersasar diteruskan untuk golongan terjejas - Utusan Malaysia

Bantuan bayaran balik bersasar diteruskan untuk golongan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri perbankan secara berterusan telah memberikan bantuan kepada pelanggan yang terjejas sejak wabak Covid-19 melanda.

Di bawah Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar, sehingga 26 Mac 2021, bank-bank secara kolektif telah meluluskan lebih 95 peratus daripada 1.6 juta permohonan yang diterima, termasuk permohonan moratorium pembiayaan dan pengurangan bayaran bulanan.

Pada masa yang sama, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) turut menggesa para pelanggan yang terjejas untuk segera berunding dan mendapatkan bantuan daripada pihak institusi perbankan.

Pengarah Eksekutif AIBIM, Ratna Sha’erah Kamaludin berkata, bank-bank ahli di bawah AIBIM komited untuk terus membantu para pelanggan yang terkesan dan berdepan kesulitan untuk membuat bayaran balik pembiayaan.

Beliau berkata, para pelanggan hanya perlu menghubungi pihak bank untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang bersesuaian.

“Pihak bank telah merangka proses permohonan dan keperluan dokumentasi yang ringkas bagi memudahkan pelanggan mendapatkan bantuan,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Ratna Sha’erah, bank-bank akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP 3.0, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, melainkan dimaklumkan sebaliknya.

Kata beliau, pelanggan juga dinasihatkan untuk melayari laman sesawang dan mengikuti media sosial bank untuk maklumat terkini serta memastikan setiap urusan perbankan adalah dibuat menerusi saluran yang sahih bagi mengelak sebarang penipuan siber.

“Selain daripada institusi perbankan, para pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan lanjut daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mereka yang telah menerima bantuan juga akan diberi jaminan bahawa rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) tidak akan terjejas,” katanya.

AIBIM telah ditubuhkan pada 1995. Pada masa ini terdapat 26 bank ahli termasuk 11 bank tempatan, 5 institusi kewangan pembangunan dan 10 bank asing yang diperbadankan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya