Bantu pelanggan terkesan akibat pandemik Covid-19
PETALING JAYA: Bank Rakyat akan melanjutkan tempoh Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar kepada pelanggannya yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.
Bantuan tersebut sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini.
Bank itu berkata, ia selaras dengan pengumuman oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei lalu yang menyatakan komitmen daripada bank ahlinya untuk terus membantu pelanggan yang berhadapan kesulitan membuat bayaran balik pembiayaan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, Bank Rakyat prihatin terhadap situasi pandemik terkini yang masih tidak stabil.
“Bantuan ini dilanjutkan khas buat pelanggan yang masih menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran pembiayaan mereka berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.
“Bank Rakyat turut menawarkan bantuan bersasar kepada individu terjejas yang bekerja sendiri atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memberi fleksibiliti dalam pembayaran pembiayaan,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Bank Rakyat memaklumkan, antara kriteria pelanggan yang boleh memohon bantuan tersebut adalah pelanggan yang telah diberhentikan kerja dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, pelanggan yang masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji, pelanggan yang mengalami pengurangan gaji atau pendapatan serta pelanggan yang mana pasangannya turut terjejas.
Sementara itu, Alliance Bank turut mengambil inisiatif sama, khusus untuk individu yang kehilangan kerja atau pendapatannya terkesan oleh pandemik serta perniagaan yang mengalami penurunan pendapatan.
Bank tersebut turut memudahkan urusan permohonan dan melancarkan akaun perniagaan Whatsapp supaya dapat memberi maklum balas yang lebih cepat kepada pelanggan berkenaan bantuan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joel Kornreich berkata, keutamaan Alliance Bank ketika ini adalah untuk mempermudah permohonan pelanggan untuk bantuan itu.
“Kami menggesa pelanggan yang menghadapi kesukaran kewangan untuk menghubungi kami segera bagi membincangkan pakej bantuan paling sesuai untuk meringankan beban kewangan mereka,” katanya. – UTUSAN