Kesan peralihan budaya pasaran telah menjadikan ruangan maya tempat pertemuan orang ramai untuk berkomunikasi, merujuk pelbagai maklumat dan berurusniaga. Hampir setiap hari juga, pasaran maya ini bermain dengan algoritma, perubahan trend dan persaingan industri termasuk kebijaksanaan pengguna dalam menilai setiap maklumat, kempen dan promosi.
Peniaga kini perlu lebih kreatif dalam mengendali data dan capaian maklumat serta prihatin terhadap emosi pasaran dalam membina strategi pemasaran. Mengurus setiap kempen pemasaran juga memerlukan disiplin dan perancangan. Pernah ada dalam kalangan peniaga yang menganggap pasaran maya ini boleh ditawan dengan sekadar berkongsi status media sosial, namun apabila gagal memperolehi impak yang diharapkan, barulah mereka sedar perlunya asas perancangan sewajarnya.
Membangunkan kempen pemasaran digital yang berkesan memerlukan inisiatif dalam mengenal prospek pasaran dan melaksanakan strategi mengikut disiplin serta kesesuaian yang selaras dengan penerimaan prospek. Terdapat perkara yang perlu jelas bagi setiap peniaga sebelum menjalankan kempen pemasaran dalam talian.
Matlamat Pemasaran
Membina strategi pemasaran digital perlu bersandarkan kepada matlamat yang ingin dicapai. Ia pada dasarnya perlu diusahakan dengan menggariskan objektif tentang bagaimana impak pemasaran boleh dicapai melalui sebaran maklumat kepada fokus pasaran yang betul. Penawaran produk atau perkhidmatan yang dapat memberi solusi terhadap permasalahan pengguna yang tepat mampu menjana impak yang berkesan dan bertapak lebih kukuh di pasaran.
Memahami Personaliti Prospek
Melalui matlamat yang telah dirangka dapat memberi pemahaman dalam mengenali ciri-ciri prospek dan pelanggan yang paling relevan dengan keperluan produk atau perkhidmatan yang ingin dipasarkan. Secara asas, peniaga perlu membina profail pelanggan berpotensi bagi mengenali asas personaliti mereka berdasarkan lokaliti dan demografi, sosioekonomi serta trend gaya hidup seharian.
Mengkaji Persaingan
Setiap prospek pasaran maya sentiasa terdedah dengan pelbagai sumber informasi yang mampu mempengaruhi tindakan mereka. Tidak mustahil, mereka mungkin melihat pesaing anda sebagai sebahagian sumber solusi yang boleh mempengaruhi pembelian. Bandingkan tawaran pesaing dan elemen pemasaran mereka di setiap landasan digital dan media sosial.
Memahami Proses Pembelian
Memahami tingkah laku dan psikologi pelanggan juga penting. Selidiki pola tindakan prospek bermula daripada asas interaksi di ruangan maya terhadap proses yang mendorong mereka membeli atau tidak membeli. Sekiranya proses komunikasi dan pembelian terlalu rumit, prospek yang berminat berkemungkinan beralih kepada tawaran pesaing yang lebih menarik.
Memilih Saluran Pemasaran Digital
Terdapat pelbagai saluran digital yang tersedia pada masa kini. Memilih platform berdasarkan prospek pasaran industri atau pengguna dapat dipermudahkan dengan mengenal semua elemen di atas. Strategi pemasaran perlu disesuaikan dengan keberadaan prospek mengikut pilihan saluran media sosial yang dominan bagi mendapatkan impak yang berkesan.
Membina Teknik Pemasaran Digital
Memantapkan teknik dalam membina kandungan copywritng atau teknik penceritaan yang mampu mempengaruhi emosi prospek. Selain itu, manfaatkan teknik periklanan seperti media sosial, Google Ads, Pemasaran Enjin Carian (SEM), Optimasi Enjin Carian (SEO), Influencer Marketing, Pemasaran Emel atau Zero-Cost Marketing juga penting berdasarkan sumber dan aspirasi perniagaan.
Justeru itu, majoriti perniagaan online yang berjaya bukanlah diperoleh atas usaha semalaman. Banyak masa yang diperuntukkan dalam meneliti budaya pasaran, menganalisa data, menentukan matlamat bagi memperolehi strategi yang berkesan.
Pengembangan dunia digital sememangnya mampu menjadi prospek pasaran paling berpotensi sekiranya peniaga dan pengusaha mempunyai gerak kerja yang terancang dalam melaksanakan strategi yang dapat mempengaruhi emosi dan memenangi kehendak prospek pasaran.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.










