PETALING JAYA: Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dianggarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu sebanyak 6 hingga 7.5 peratus dianggap luar jangkauan kecuali jika ada perkara yang ajaib dan luar biasa berlaku dalam ekonomi negara.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan baru-baru ini sudah semestinya akan memberi kesan kepada ekonomi walaupun tidak ketara.
“Jika diukur pada peringkat agregat, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada unjuran KDNK. Ramalan yang mengatakan ia akan mencatatkan pertumbuhan positif antara 6 hingga 7.5 peratus mungkin berada di luar kemampuan negara.
“Kecuali terdapat kerancakan luar biasa ekonomi yang berlaku dan keluk penularan Covid-19 dapat dilandaikan secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baharom menjelaskan PKP bersasar baru-baru ini tidak sama dengan PKP yang sebelumnya kerana ia lebih kepada kawalan pergerakan sementara ekonomi menerima kekangan yang minima susulan perniagaan dibenarkan untuk beroperasi.
Bagaimanapun, katanya, kesan terhadap ekonomi tetap ada kerana pergerakan yang terhad selain perbelanjaan yang banyak di musim perayaan Aidilfitri tidak akan berlaku seperti yang dijangka.
“Pihak kerajaan terpaksa melakukan pelan stimulasi baharu, namun kita sedar keadaan kewangan kerajaan tidak begitu memuaskan.
“Mungkin sudah tiba masanya pihak swasta memainkan peranan perbankan bagi memperkenalkan kembali moratarium secara sukarela tanpa arahan kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff memberitahu, untuk memastikan ekonomi tahun ini tetap mencatatkan pertumbuhan, kempen berterusan dalam memastikan pematuhan standard operasi prosedur (SOP) dan penjarakan fizikal harus dilakukan.
“Pada masa yang sama, kempen imunisasi kebangsaan harus dipertingkatkan lagi apabila vaksin yang seterusnya diterima.
“Apabila semua langkah-langkah itu dilakukan, kadar jangkitan dapat dikurangkan dan keyakinan pembeli dan pelabur dapat ditingkatkan dengan segera,” jelasnya.
Mengulas lanjut, berikutan ekonomi dunia rata-rata menunjukkan peningkatan termasuk harga minyak dan komoditi, Razman memberitahu Malaysia boleh mendapat manfaat daripada peningkatan itu dengan menambah pengeluaran komoditinya seperti minyak dan minyak sawit.
Menurutnya, dengan meningkatkan pengeluaran itu dapat memenuhi permintaan pasaran global di samping memperluas pasaran untuk komoditi-komoditi tersebut.
Tambahnya, usaha untuk mendapatkan nilai tambah ke atas komoditi-komoditi itu turut harus diteruskan dengan menghasilkan produk sampingan yang mampu memberi pulangan lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE











