PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad (AAGB) mencatatkan kerugian bersih RM976 pada suku pertama tahun ini, iaitu 2.4 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Prestasi melemah tahun ke tahun itu disebabkan kekurangan pendapatan dan beberapa kos, termasuk kerugian pertukaran mata wang derivatif sebanyak RM157 juta dan kerugian pertukaran bahan api sehingga RM30 juta.
Pendapatan suku semasa sebanyak RM298 juta, meningkat 12 peratus suku ke suku namun menyusut 87 peratus tahun ke tahun.
Pendapatan bagi syarikat penerbangan menurun 91 peratus tahun ke tahun dan 12 peratus suku ke suku berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu. Pendapatan bukan syarikat penerbangan pula menurun 36 peratus.
Kumpulan Gabungan turut mencatatkan kerugian Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM217 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Presiden (Syarikat Penerbangan) AirAsia Group Berhad, Bo Lingam berkata, kumpulan mencatat faktor muatan positif 67 peratus, disumbangkan oleh pengurusan kapasiti aktif untuk memenuhi permintaan.
Ujarnya, ia diterajui AirAsia Malaysia dan AirAsia Filipina dengan faktor beban masing-masing 73 dan 74 peratus pada suku semasa.
“Semua AOC kami mengalami pengurangan operasi pada awal tahun ini kerana kes jangkitan meningkat di pasaran operasi kami. Namun, ketika pengagihan vaksin dipercepat di wilayah Asean, kami melihat peningkatan jumlah penumpang pada Mac yang dipacu AirAsia Thailand dengan kenaikan 169 peratus.
“AirAsia Indonesia menunjukkan tanda pemulihan yang kuat kerana entiti tersebut beroperasi hampir 70 peratus daripada kapasiti domestik pra-Covid sementara pemulihan bagi AirAsia Malaysia masih perlahan kerana pelaksanaan PKP.
“Kami menjangkakan operasi domestik di Malaysia dan Filipina akan berada di bawah 25 peratus daripada tahap sebelum pandemik sehingga September ini, sementara lebih ramai rakyat divaksinasi,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Airasia digital terus mendapat perhatian apabila setiap entiti berkembang. Airasia super app mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang tinggi sebanyak 45 peratus kepada RM10 juta sementara BigPay mengecilkan kerugian EBITDA sebanyak 38 peratus.
Pendapatan Teleport meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah penerbangan charter yang lebih tinggi terutama ke China, India dan Thailand.
Menurut beliau, pembendungan kos menjadi satu langkah terpenting untuk memastikan kecairan yang mencukupi dalam tempoh yang mencabar ini.
“Kami berjaya mengekalkan kos tetap rendah dengan pengurangan 54 peratus tahun ke tahun. Kos tetap syarikat menurun seiring dengan kos kakitangan sehingga 62 peratus bagi membendung kerugian lebih besar.
“Namun, kami tetap yakin dengan kemampuan untuk pulih dengan cepat dan kembali kuat berikutan permintaan yang masih belum dapat dipenuhi. Kami melihat petunjuk yang kuat kerana setiap kali terdapat kelonggaran dalam sekatan perjalanan domestik, perjalanan spontan turut melonjak,” ujarnya. – UTUSAN










