fbpx

Usahawan OKU teruskan perniagaan keluarga

NORLI Hamzah menunjukkan salah satu produk sos ikan bakar yang dihasilkan oleh syarikatnya di Sungai Petani baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Status orang kelainan upaya (OKU) yang dimiliki oleh Norli Hamzah, 55, tidak pernah menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya sebagai usahawan industri kecil sederhana.

Malah penerima Anugerah OKU Kedah 2018 itu cekal menggunakan peluang sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk mengembangkan perniagaan pelbagai jenis sos milik keluarga yang diwarisinya sejak 2009.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, dia mengusahakan perniagaan itu atas rasa tanggungjawab untuk memastikan syarikat Trenor Teguh Trading terus hidup di sebalik persaingan dalam dunia perniagaan ketika ini.

“Saya ambil alih perniagaan ini pada 2009 setelah ibu saya meninggal dunia yang sebelum itu mewarisinya daripada datuk saya yang mewujudkan perniagaan membuat sos ini sejak 1968,” katanya ketika ditemui di kilang memproses sos jenama 3Nor di Sungai Layar di sini baru-baru ini.

Menurut Norli, dia beruntung kerana mendapat bantuan pinjaman dan bimbingan daripada AIM untuk membesarkan perniagaan tersebut termasuk memiliki kilang sendiri.

“Apabila saya mengambil alih perniagaan ini, saya meminjam sebanyak RM3,000 sebagai modal tambahan untuk menambah kelengkapan dan sehingga kini saya meminjam sehingga RM60,000 daripada AIM.
“Wang tersebut antaranya saya gunakan untuk menaik taraf kilang sos ini selain membeli peralatan.

“Selain itu, AIM turut memberi bimbingan dan membuat pemantauan terhadap perniagaan saya dari semasa ke semasa,” jelasnya yang mengalami masalah sumbing sejak lahir.

Norli juga menggunakan khidmat pekerja berstatus OKU sebagai operator di kilang sosnya ini.

Setakat ini, kilang sos milik Norli mengeluarkan sehingga 4,000 botol produk sos setiap bulan untuk pasaran kedai runcit di seluruh negara.

Katanya, berbanding cuma satu produk iaitu sos ikan bakar kini kilang tersebut telah menghasilkan empat jenis sos lain iaitu, sos daging bakar, sos char kuetiau, sos cili dan kicap.

“Saya juga sudah memperoleh sijil halal dan MeSTI serta berhasrat untuk memasarkan di pasar raya pula selepas ini,” katanya.

Kata Norli, kejayaan yang dikecapi itu memerlukan usaha yang keras selain kesabaran yang tinggi.

“Saya merasa bangga dapat teruskan perniagaan keluarga dengan bantuan AIM dan sebagai Sahabat AIM saya galakkan sesiapa sahaja jangan takut untuk membuka bisnes sendiri.

“Selagi kita ikhlas dan amanah insya-Allah akan berjaya,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk sos jenama 3NOR ini bolehlah mendapatkannya di talian 013-425 4814. – UTUSAN