Transformasi lonjak Kagat ke peringkat lebih baik - Utusan Malaysia

Transformasi lonjak Kagat ke peringkat lebih baik

NAWAWI Daud melakukan gimik Pelancaran Sistem Pengurusan Strategik Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (Ilmi) , Port Dickson, baru-baru ini. – UTUSAN/IMUHAMMAD IZZAT TARMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sempena Hari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Ke-36, baru-baru ini, Jawatankuasa Induk Penerapan Nilai-nilai Islam (Jipnim) Kagat telah mengenal pasti sebanyak 43 isu yang dilihat selari dalam transformasi, hala tuju dan kematangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Ketua Pengarah Kagat, Mejar Jeneral Datuk Nawawi Daud, transformasi berkenaan dilihat dapat melonjakkan Kagat kepada peringkat yang lebih baik. 

Beliau berkata, dalam jawatankuasa berkenaan pihaknya telah menyelaras tradisi tentera dan kehendak agama. 

“Saya mahu beri contoh berkaitan pemakaian tudung bagi anggota, kini seramai 99 peratus anggota wanita telah  memakai tudung. 

“Jika sebelum ini kami tidak berapa fokus kerana Kagat hanya membuat beberapa isu secara rambang sahaja. Bagi teras kedua adalah keanggotaan organisasi dari segi sahsiah mereka, ketrampilan ilmu yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa. Mereka ini dianggap sebagai ejen perubahan dalam karektor mereka sebagai guru agama,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Hari Kagat ke-36 di Dewan Tan Sri Abdul Hamid, Institut Latihan dan Kefahaman Islam (Ilmi) dekat sini baru-baru ini. 

Menurut Nawawi, selain pemakaian tudung, melalui jawatankuasa berkenaan juga, mereka telah menukar beberapa acara seperti tepung tawar dan acara kalungan bunga di tugu pahlawan menjadi majlis doa selamat.

“Kami melihat ia cukup harmoni apabila dapat memberi perubahan sedikit demi sedikit dalam kor ini. Kami berharap transformasi yang berlaku membolehkan ATM dipandang tinggi dan tidak melanggar akidah,” katanya. 

Dalam pada itu, ujarnya, Kagat juga telah melancarkan perancangan strategik bagi tempoh lima tahun pada 18 Februari lalu yang sekali gus dilihat dapat melonjakkan Kagat ke peringkat yang lebih baik.

“Ia termasuk dua teras iaitu pemantapan kerohanian dan keutuhan organisasi. Ia melalui 16 strategi dan 68 inisiatif untuk melonjakkan Kagat selari dengan kehendak ATM dan kami kini memfokuskan kepada pembangunan spiritual. 

“Dua teras ini telah dijadikan sistem pengurusan strategik yang dilancarkan hari ini. Ia sekali gus memberi harapan ia menjadi panduan kepada generasi akan datang untuk menguruskan Kagat seiring dengan kehendak ATM,” katanya. 

Selain daripada itu, jelas Nawawi, Kagat juga akan melancarkan buku profail Kagat yang menyentuh tentang seorang anggota Kagat yang baik ciri-ciri ketrampilan, kemahiran dan sikap hidup.

“Menjadi seorang anggota Kagat yang baik, seseorang itu perlu memastikan dia mempunyai profail yang baik. Selain itu, profail berkenaan boleh dijadikan ukuran untuk kenaikan pangkat bagi anggota Kagat yang paling memenuhi kriteria,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Nawawi turut menyampaikan Anugerah Khas Pengerusi Kor kepada Leftenan Kolonel Nadzri Musman, 49 .

Nadzri, seorang pegawai dari Kagat telah terlibat dalam misi mendapatkan kotak hitam tragedi tembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada 12 individu yang terlibat dalam perbincangan dengan ketua pemberontak, Alexander Baradoi di Ukraine dalam usaha mendapatkan kotak hitam pesawat MH17.

Menurut Nadzri, anugerah yang diterimanya itu telah menaikkan semangatnya sebagai ahli Kagat serta dapat menaikkan nama Angkatan Tentera Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya