TM raih dua anugerah di Anugerah HR Asia 2020 - Utusan Malaysia

TM raih dua anugerah di Anugerah HR Asia 2020

Norhamijah Mohd. Hanafiah menerima Anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja (Edisi Malaysia) daripada Penerbit dan Ketua Pengarang Kumpulan Business Media International, Datuk William Ng, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) menerima dua anugerah dalam Anugerah HR Asia 2020 yang diadakan baru-baru ini.

Syarikat telekomunikasi dan media itu terpilih sebagai antara Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2020 (edisi Malaysia) dan merangkul Anugerah We Care: Syarikat Paling Prihatin HR Asia 2020 sebagai pengiktirafan terhadap insiatif dan tindakan dalam melindungi keselamatan dan memastikan kebajikan anggotanya sepanjang pandemik Covid-19.

Pemangku Ketua Pegawai Modal Insannya, Norhamijah Mohd. Hanafiah berkata, TM berhadapan tempoh mencabar sepanjang pandemik Covid-19 bagi memastikan anggotanya kekal selamat sambil terus berkhidmat kepada negara de­ngan tahap perkhidmatan dan kecekapan perniagaan yang terbaik.

Kata beliau, pihaknya sedar warga TM merupakan daya pemacu di sebalik kejayaan syarikat itu dan mengibaratkan warga kerja TM seperti enjin yang menggerakkan syarikat untuk berfungsi sepenuhnya serta menuju transformasi.

“Semua pengiktirafan ini ditujukan kepada kerja keras dan kesungguhan mereka dalam memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kami, masyarakat dan negara, terutamanya ketika waktu yang mencabar ini.

“Sebagai majikan pilihan, kami kekal komited untuk melindungi kebajikan anggota kami di samping melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah melengkapkan warga TM dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan menerusi latihan dan program-program peningkatan kemahiran,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia merupakan program tahunan anjuran HR Asia bagi mengiktiraf organisasi-organisasi di seluruh Asia, meliputi 11 pasaran dalam bidang kecemerlangan strategi tempat kerja, jenama majikan dan penglibatan kakitangan.

Untuk 2020, sebanyak 44 syarikat disenaraikan sebagai antara Syarikat Terbaik Untuk Bekerja Di Asia edisi Malaysia termasuk TM.

Menurut Norhamijah, pihaknya akan terus meningkatkan kemampuan pekerja dan bersedia dengan cabaran yang akan datang demi memacu usaha pendigitalan negara.

“Selain memastikan kebajikan terbaik untuk anggota, kami sedang membentuk semula tenaga kerja kami untuk mengamalkan budaya kerja secara tangkas dengan kemahiran yang bersedia untuk masa hadapan ke arah memacu Malaysia Digital.

“Ini selaras dengan sokongan kami terhadap inisiatif-inisiatif pembinaan negara oleh kerajaan antaranya MyDIGITAL dan pelan-pelan rangsangan yang lain, ke arah memacu pemulihan dan pertumbuhan sosioekonomi semasa pandemik dan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya