Thailand semak unjuran KDNK - Utusan Malaysia

Thailand semak unjuran KDNK

Peningkatan semula kes Covid-19 kembali menjejaskan industri pelancongan Thailand, memaksa kerajaan menyemak semula pertumbuhan ekonomi. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kementerian Kewangan Thailand sekali lagi menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu kepada 2.3 peratus daripada 2.8 peratus sebelum ini, selepas gelombang ketiga pandemik Covid-19 mula memberi kesan kepada industri pelancongannya.

Thailand dilaporkan merekodkan peningkatan hampir separuh daripada keseluruhan kes Covid-19 bulan ini ketika ia dikatakan bersedia untuk membuka pintu sempadan kepada pelancong asing berikutan program vaksinasi global.

“Pihak kementerian menjangkakan ketibaan pelancong asing sekitar dua juta pada tahun ini, berbanding unjuran tiga bulan lalu, seramai lima juta orang,” kata Pegawai Kanan kementerian, Kulaya Tantitemit dalam satu taklimat.

Pada 2019, Thailand merekodkan kedatangan hampir 40 juta pelancong, sebelum pandemik melanda.

“Pengurangan kedatangan pelancong akan memberi impak, kerana ia akan turut me­ngurangkan aliran masuk wang kepada kira-kira 100 bilion bath (AS$3.2 bilion/RM13.13 bi­lion) daripada 260 bilion bath (RM34.14 bilion) jangkaan sebelum ini,” katanya.

Sektor pelancongan menyum­bang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dengan tahun lalu seramai 6.7 juta pengunjung direkodkan. Pada 2019, sebanyak 40 juta pelancong datang ke negara ini dan membelanjakan kira-kira 1.91 trilion bath (AS$61.14 bi­lion/RM250.86 bilion)

“Agihan vaksin sangat pen­ting kerana ia akan memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi. Kami menjangkakan pemulihan ekonomi pada suku ketiga dan awal suku keempat lebih perlahan,” kata­nya.

Bagaimanapun kata Tan­titemit, pihak kementerian mengunjurkan peningkatan eksport pada tahun ini kepada 11 peratus daripada 6.2 peratus pada Januari mengambil kira pemulihan ekonomi di peringkat global.
Katanya, ia juga mengambil kira pakej rangsangan tambahan lebih 100 bilion bath (AS$3.2 bilion/RM13.13 bilion) yang telah diumumkan kerajaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya