SME Bank biaya PKS RM300 juta - Utusan Malaysia

SME Bank biaya PKS RM300 juta

MAS Ermieyati Samsudin (tengah) dan Aria Putera Ismail (tiga, kiri) bersama penerima Skim Pembiayaan Lestari Bumi di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank telah melancarkan Skim Pembiayaan Lestari Bumi untuk membantu membangunkan usahawan mikro dan kecil atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui peruntukan pembiayaan sebanyak RM300 juta.

Pembiayaan itu bertujuan membolehkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Skim Pembiayaan Lestari Bumi itu hadir tepat pada masanya memandangkan usahawan mikro dan kecil negara terkesan teruk berikutan pandemik Covid-19.

“Statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa 41,349 perniagaan yang terjejas dan tutup akibat pandemik ini pada tahun lepas.

“Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara dan lebih 92 peratus usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewa­ngan bagi menceburi perniagaan baharu,” katanya sewaktu majlis pelancaran skim tersebut, semalam.

Mas Ermieyati menyeru PKS yang belum berdaftar untuk mendaftarkan perniagaan mereka bagi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail menjelaskan, me­lalui skim tersebut, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000.

“Itu semestinya akan membolehkan usahawan-usahawan mikro dan kecil ini meningkatkan perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi.

“Melalui skim itu juga, usahawan akan menerima bantuan yang lebih berstruktur mengikut keperluan perniagaan mereka serta mendapat akses kepada program-program latihan dan bimbingan yang lebih efektif dan tersusun melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), sebuah anak syarikat milik penuh SME Bank,” tambahnya.

Selain melancarkan Skim itu, SME Bank turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga buah agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya