BICARA NIAGA
MUKADIMAH
PUTRAJAYA sering digambarkan tidak lebih hanya satu lokasi pusat pentadbiran kerajaan untuk mereka yang bekerja sahaja. Sedangkan, ia adalah sebuah bandar cantik yang perlu diterokai dengan suasana persekitaran menakjubkan apatah lagi dikelilingi 40 peratus kawasan tasik dengan elemen kehijauan.
Sebagai pemaju utama Wilayah Persekutuan itu, Putrajaya Holdings (PjH) mahu ‘menyuntik jiwa’ ke dalam bandar ini bagi menarik lebih ramai orang datang ke sini dengan kini memberi fokus kepada pembangunan komersial yang telah pun dilengkapi kemudahan infrastuktur berkelas A.
Sebagai teraju utama PjH yang baru mengambil alih kepimpinan PjH pada tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PjH wanita pertama, DATUK HASHIMAH HASHIM meletakkan visi itu untuk menghidupkan Putrajaya sebagai satu destinasi berbekalkan pengalaman luas dalam pelbagai industri termasuk jurureka perunding, pembinaan, perumahan dan pengurusan operasi syarikat di Malaysia, London dan New York.
“Orang ingat Putrajaya ini hanya semata-mata bangunan kerajaan. Jadi kita mahu ubah persepsi ini dengan mempromosikan kecantikan bandarnya dilengkapi kondisi terbaik memenuhi seluruh gaya kehidupan untuk melakukan apa sahaja aktiviti di sini,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurugambar, FAISOL MUSTAFA di Hotel Everly, Putrajaya milik anak syarikat PjH, baru-baru ini.
UTUSAN: Apakah kejayaan projek PJH sebelum ini?
HASHIMAH: Sebagai pemaju induk pembangunan Putrajaya, PjH telah menyempurnakan dan menyerahkan 41 projek bangunan kerajaan bagi tahun berakhir 2019, dengan keluasan keseluruhannya berjumlah 42.3 juta kaki persegi termasuk 4.8 juta kaki persegi pembangunan Parcel F yang disiapkan pada April 2019.
Berapakah nilai pendapatan yang dijana PjH sebelum ini dalam tempoh 5 tahun?
PjH tidak tersenarai di dalam Bursa Malaysia dan oleh itu nilai pendapatan syarikat tidak didedahkan untuk makluman awam. Bagaimanapun, tanggungjawab PjH untuk membangunkan Putrajaya seluas 4,930 hektar.
Bagi bangunan kerajaan, syarikat telah menyiapkan projek seluas 3.8 juta meter persegi, manakala bagi bangunan komersial pula melibatkan perancangan 3.4 juta meter persegi dengan 0.4 juta meter persegi sudah disiapkan dan 1.0 juta meter persegi dalam tempoh lima tahun akan datang.
PjH turut membangunkan projek perumahan sebanyak 65,000 unit yang mana 27,500 unit telah berjaya disiapkan manakala 24,000 unit lagi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sepanjang tahun lalu, negara mengalami pandemik Covid-19. Adakah ia turut menjejaskan perancangan PjH?
Projek pembinaan sebagai pemangkin ekonomi jelas terjejas akibat pandemik Covid-19 dan PjH, sama seperti kebanyakan organisasi lain turut terkesan.
Bagaimanapun projek-projek PjH dikategorikan sebagai berstatus ‘sederhana’ (moderate) dan terus kukuh dalam memainkan peranan utama untuk menggerakkan ekonomi dan menyediakan kemudahan infrastruktur lebih baik kepada warga Putrajaya.
PjH mengalu-alukan pengumuman kerajaan di mana peruntukan hampir RM7.35 bilion diberikan kepada sektor pembinaan dan pembangunan dalam Belanjawan 2021 kerana ia dijangka dapat mengerakkan ekonomi setempat selain memberi manfaat kepada pemaju dan kontraktor tempatan.
Perancangan pada tahun ini dan jangkaan pulangan pendapatan?
Jumlah projek terkini adalah sebanyak 19 projek melibatkan kos keseluruhan pembinaan sebanyak hampir RM2 billion. Selain daripada projek perumahan, dua projek komersial utama yang dikendalikan PjH ialah 8MD3/TERRA dan 7MD7.
TERRA adalah sebuah projek pembangunan campuran bersepadu berhadapan dengan tasik di Plot 8MD3 di Presint 8, Putrajaya. Projek ini melibatkan tiga blok kondominium, pangsapuri perkhidmatan, pusat beli-belah dan ruang-ruang perniagaan berhadapan tasik.
Selain itu, terdapat juga dewan acara dengan kapasiti sebanyak 700 orang. Antara komponen awal yang akan dilancarkan bersama dengan Galeri Jualan TERRA pada suku ketiga tahun ini ialah TERRA CYCLE yang merupakan satu inisiatif menarik lebih ramai pengunjung khususnya peminat sukan berbasikal untuk berbasikal di sisir tasik Putrajaya dan menikmati suasana nyaman dan laluan berbasikal yang selamat sedia ada di seluruh Putrajaya.
7MD7 pula adalah pembangunan berorientasikan transit dan juga kompleks komersial yang terletak di Presint 7 (di atas keluasan tanah sebesar 5.93 ekar) bersebelahan dengan Putrajaya Sentral di mana stesen MRT dan ERL (laluan transit) berada.
Ia menempatkan 1,000 tempat letak kereta untuk pengguna MRT dan akan mempunyai 945 unit pangsapuri perkhidmatan, hotel, bangunan pejabat dan pusat beli-belah setelah selesai pembinaannya kelak.
Kemudahan dan jalan perhubungan juga disediakan seperti jejantas pejalan kaki ke Stesen MRT dan Hospital Putrajaya. Fasa pertama projek itu dijangka siap pada awal tahun 2023.
Apakah projek-projek lain yang dibangunkan demi menjadikan Putrajaya satu destinasi kepada masyarakat sekali gus menghidupkan suasana di pusat pentadbiran kerajaan ini?
Kami sedang membangunkan projek laluan basikal, TERRA Trail yang dinamakan sempena projek pembangunan 8MD3/TERRA dan disasarkan untuk dibuka kepada umum.
TERRA Trail ini dirancang sebagai Pusat Sehenti atau Hab Berbasikal baharu yang akan menempatkan pusat servis dan jualan basikal, kafe basikal dan juga Gim Basikal. Ia juga dirancang untuk menjadi mercu tanda atau lokasi berkumpul utama untuk peminat sukan berbasikal di Putrajaya nanti.
Di samping TERRA Trail, Taman Jejak atau Cycle Trail di Putrajaya akan dibangunkan di tanah bersebelahan tapak Projek TERRA. Hasil daripada satu pertandingan reka bentuk yang diadakan pada bulan Februari lepas, sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada penggiat sukan berbasikal dan kakitangan PjH berjaya menyiapkan fasa pertama Taman Jejak sepanjang 1.5 kilometer pada Mac lalu dan sudah boleh digunakan dan dibuka kepada umum menjelang Mei ini.
Apakah fokus bentuk pembinaan PjH selepas ini?
Perancangan kita pada masa depan ialah melihat keperluan orang ramai masa kini. Contohnya dalam pembinaan pejabat, apakah bentuk pejabat yang diperlukan sesuai dengan keadaan semasa dengan kebanyakan majikan mengamalkan konsep bekerja dari rumah dan fleksibel.
Pada saya orang masih perlukan pejabat tetapi tidak lagi seperti sekarang ini duduk dalam kubik. Saya juga percaya orang masih mahu keluar dari rumah dan pergi ke satu tempat kondusif dan selesa, masih boleh berinteraksi dan bertukar idea. Ini adalah bentuk pejabat masa depan.
Apakah visi dan misi Datuk untuk PjH?
Visi saya PjH perlu cepat bertindak apa yang pasaran mahukan sama ada dalam membina pejabat atau kediaman. Membina kediaman juga ada cabarannya iaitu memenuhi aspek mampu milik tanpa mengetepikan soal kualiti. Ia perlu seimbang.
Pembinaan hartanah kediaman, PjH ada kombinasi apartmen dan landed houses. Namun jika melihat keperluan pasaran, mereka lebih mahukan landed houses. Buktinya, kami baru melancarkan projek hartanah landed houses pada tahun lepas, ia habis terjual dalam tempoh dua hari sahaja. Jadi kita perlu melihat semula perancangan untuk memberi fokus pembangunan ini memenuhi aspek mampu milik.
Di samping pembinaan berkualiti, fokus saya sebagai CEO juga memastikan tidak ada projek tertangguh dan boleh diserahkan kepada pembeli tepat pada masanya.
Apa pandangan Datuk mengenai kedudukan industri hartanah dan cara mengatasinya?
Ini adalah cabaran kepada semua pemaju. Jadi kita perlu merangka strategi dengan melihat apa keperluan pasaran masa kini yang lebih mahukan hartanah mampu milik. Pemaju juga perlu menawarkan pakej terbaik dengan memberikan lebih rebat, menawarkan aspek pinjaman kewangan yang lebih menarik di samping melihat kapasiti kelebihan jenis produk.
Apakah projek-projek bersifat komuniti yang dianjurkan PjH sebagai salah bentuk CSR.
Selepas mengambil alih tampuk kepimpinan Putrajaya Holdings pada masa Malaysia dan dunia berdepan pandemik Covid-19, saya menumpukan usaha membantu masyarakat melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi projek PjH Prihatin. Ia sebagai langkah menyumbang kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik.
Melalui program PjH Prihatin, bantuan sebanyak RM20,000 disalurkan dalam bentuk barangan keperluan kepada barisan hadapan. Pada Mei 2020 pula, PjHomes menyumbang lima kubikel (cubicle) untuk ujian saringan kepada Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.
Selain itu, di bawah payung PjH Prihatin juga, pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terkandas di kampus dibantu untuk meneruskan pengajian mereka.
Tahun ini pula, beberapa inisiatif dan langkah awal digerakkan termasuk kempen ‘1 Meja, 1 Kerusi’ yang bertujuan mengumpul sumbangan daripada warga kerja PjH dengan sasaran dana RM40,000 untuk disalurkan kepada Maahad Tahfiz Al Mukmin serta program “Bathroom Amenities” (kemudahan bilik mandi) bagi membekalkan barangan keperluan kepada barisan hadapan.
Program CSR PjH diteruskan dengan kerjasama The Hope Branch melalui Sedunia.me yang dilancarkan pada 23 Mac lalu untuk menyumbangkan keperluan makanan dan barangan kepada keluarga golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN










