Pengembangan dunia digital hari ini telah banyak mempengaruhi cara hidup kita semua. Ia telah merubah cara kita berfikir, bekerja dan fokus pemerhatian seharian. Begitu juga sekiranya kita berhasrat memperkukuh aspirasi keusahawanan dan pembangunan kerjaya dalam arus digital kini. Pendekatan yang perlu diambil melibatkan beberapa inisiatif tertentu termasuk membina penjenamaan peribadi.
Atas faktor tersebut, penjenamaan peribadi atau personal branding telah menjadi salah satu kepentingan terutama dalam kalangan usahawan dan profesional dalam memperkukuh kredibiliti pasaran. Memanfaatkan platform digital dan media sosial sebagai medium penyampaian input yang ingin diketengahkan turut menjadi elemen yang mempengaruhi penjenamaan peribadi dalam meletakkan imej diri selaras dengan fokus kerjaya kepada perhatian golongan audiens berpotensi.
Apabila menyebut tentang penjenamaan, pasti akan terlintas difikiran ramai tentang keberadaan jenama produk-produk pilihan yang diminati atau terkenal di pasaran. Strategi penjenamaan yang telah dibangunkan oleh sesebuah organisasi perniagaan itu sebenarnya telah berjaya mencapai tahap kredibiliti bagi memastikan kewujudan sesebuah produk terus relevan serta mendapat permintaan yang baik di pasaran. Elemen tersebut juga mempunyai persamaan dengan penjenamaan peribadi. Namun, apa yang membezakan adalah fokus utama penjenamaan peribadi yang lebih cenderung dalam membina authoriti atau dominasi pasaran berdasarkan kemahiran atau kepakaran profesional individu.
Secara amnya, penjenamaan peribadi adalah satu usaha atau strategi yang dilakukan oleh individu seperti usahawan dalam memperkenalkan dirinya kepada masyarakat umum. Antara lain bermaksud, satu inisiatif dalam mempromosi keperibadian dirinya agar selaras dengan penglibatan kerjaya atau bidang perniagaan yang diusahakan bagi tujuan membentuk tanda pengenalan kepada prospek dalam talian, seterusnya meletakkan kedudukan individu tersebut agar diingati serta dikenali oleh audiens dalam konteks kerjaya yang diceburi. Ia menyokong kepercayaan pasaran dan membuka potensi yang lebih luas dalam memperkasa profesionalisme.
Sebagai contoh, sekiranya anda terlibat dalam perniagaan yang terkait dengan industri kesihatan, pastikan status perkongsian di media sosial atau kandungan di laman sesawang peribadi anda mempunyai pengisian berinformatif yang relevan dengan industri kesihatan. Pengisian tersebut juga boleh diadun dengan realiti penglibatan kehidupan anda yang berkisar dengan industri kesihatan tersebut agar dapat membina tarikan dalam menyerlahkan kewibawaan personaliti anda kepada audiens.
Begitu juga penglibatan kerjaya dalam sektor yang lain seperti perundingan, hartanah, pendidikan, sukan, malah pelbagai lagi. Pengisian yang dikongsikan melalui ruangan digital dan media sosial haruslah dapat menggambarkan penglibatan profesionalisme anda sebagai pengenalan tentang siapa anda pada pandangan audiens. Pengisian yang dikongsikan merupakan komponen penting dalam membina penjenamaan peribadi.
Membina penjenamaan peribadi juga memerlukan anda memahami bidang yang diceburi. Input yang dikongsi dalam bentuk penceritaan mampu memberi kefahaman kepada audiens sebagai inspirasi, rujukan dan panduan. Secara tidak langsung, setiap input yang diketengahkan menjadi elemen dalam mendekatkan audiens untuk mengenali dan berinteraksi sehingga memilih untuk berurusan dengan anda atas keyakinan mereka terhadap autoriti yang diketengahkan melalui input perkongsian dan perhubungan yang terbina secara dalam talian.
Selain itu, pemilihan gambar profil dan deskripsi pengenalan diri yang bersesuaian dengan penerimaan prospek audiens di keseluruhan saluran digital juga turut memainkan peranan. Pastikan penampilan imej yang selaras dengan hasrat penjenamaan diri yang ingin direalisasikan.
Justeru itu, membina penjenamaan peribadi melalui potensi digital dan media sosial merupakan satu elemen yang menyokong personaliti diri yang positif. Ia juga menjadi landasan memperkukuh autoriti profesionalisme dalam mendepani persaingan era digital.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










