fbpx

24 Jun 2021, 11:09 am

  TERKINI

Penerima faedah Yayasan Peneraju tersenarai antara terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerima faedah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) tersenarai antara yang terbaik di dunia dalam peperiksaan Chartered Financial Analyst (CFA), Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT).

Yayasan Peneraju dalam satu kenyataan memberitahu, empat daripada penerima faedah bagi program Peneraju Profesional CFA berada di kedudukan 10 peratus teratas berbanding calon-calon global yang menduduki peperiksaan tahap satu pada Februari.

Adam Syafiq Azuden

Mereka adalah Adam Syafiq Azuden, 28; Siti Nursyahira Mat Rozi, 25; Mohamed Azri Marsan, 25; dan Muhammad Aiman Abdul Rahim, 26.

“Dengan 44 peratus kadar lulus terkini CFA tahap satu, ia menjadikan peperiksaan tersebut antara peperiksaan profesional yang paling sukar di dunia,” katanya.

Menurutnya, kesemua pelajar terbaik peringkat global itu kini bekerja dan menyumbang kepakaran masing-masing di syarikat terkemuka seperti Telekom Malaysia, Bond and Sukuk Information Platform Sdn. Bhd.

“Bagi ACCA pula, Muhammad Aiman Abd Rashid, 24, yang mendapat tajaan bersama dari Yayasan Peneraju dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah dinobatkan sebagai Top Affiliate, menduduki tempat ke-3 di Malaysia dan ke-20 di dunia semasa peperiksaan Mac 2021.

“Muhammad Aiman juga merupakan penerima faedah ketiga di bawah Yayasan Peneraju yang dinobatkan sebagai Top Affiliate selain menerima anugerah Malaysian Prize Winner bagi kertas Advanced Taxation yang membawa kedudukan pertama di Malaysia dan ke-22 seluruh dunia,” jelasnya.

Siti Nursyahira Mat Rozi

Tambahnya, Arif Aezuddin Zamri, 19, pula dianugerahkan CAT Global Prize Winner bagi kertas Managing Costs and Finance dan berada di kedudukan pertama di Malaysia dan seluruh dunia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd. Muzzammil Ismail berkata, profesion CFA yang diiktiraf di peringkat global telah dikenal pasti sebagai salah satu tenaga kerja profesional yang mendapat permintaan tinggi di sektor perkhidmatan kewangan dan pelaburan.

“Berikutan permintaan yang semakin meningkat dan jurang yang semakin luas, Yayasan Peneraju memainkan peranan sebagai sebuah agensi yang menyediakan peluang pembiayaan untuk terus melahirkan lebih ramai pemegang CFA bumiputera di Malaysia.

“Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi seramai 473 pemegang CFA sejak program pembiayaan ini ditawarkan pada 2013,” katanya.

Yayasan Peneraju setakat ini telah menghasilkan tiga Top Affiliates ACCA Malaysia dan 69 Prize Winners terdiri daripada dua ACCA Global Prize Winners, 29 ACCA Malaysia Prize Winners, 30 CAT Global Prize Winners dan lapan CAT Malaysia Prize Winners sejak program pensijilan profesional itu ditawarkan pada 2012. – UTUSAN