M-WEZ sumbang 5% KDNK Melaka - Utusan Malaysia

M-WEZ sumbang 5% KDNK Melaka

SULAIMAN Md. Ali melihat replika projek pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone yang bakal dibangunkan di Melaka selepas pelancarannya di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Melaka menyasarkan pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) menyum­bang sebanyak lima peratus setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu.

M-WEZ juga dijangka menarik pelaburan lebih RM100 bilion melibatkan pembangunan kawasan seluas 1,0117 hektar sepanjang 33 kilometer (km) pesisir pantai Melaka dan dijangka mewujudkan 20,000 pekerjaan baharu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali berkata, jumlah itu mewakili RM3 bilion hingga RM4 bilion sekiranya aktiviti-aktiviti marin utama yang dirancang beroperasi sepenuh­nya menjelang 2035.

Beliau berkata, M-WEZ me­ngandungi lima kluster utama iaitu Melaka Harbourfront, logistik pintar nukleus, perbandaran satelit digital, taman perniagaan pusat ekonomi dan perbandaran perdagangan nukleus.

Katanya, M-WEZ yang berorientasikan zon maritim mempunyai kelebihan dengan memiliki garis pantai yang panjang serta kedudukannya sebagai perairan semula jadi dengan kedalaman yang sesuai untuk kapal-kapal besar berlabuh.

“Setiap tahun hampir 100,000 kapal melintasi Selat Melaka dengan kemasukan dua hingga lima peratus kapal ke pelabuhan Melaka sudah cukup melonjakkan ekonomi negeri.

“Apa yang penting ialah menyediakan kemudahan untuk menarik kapal-kapal berkenaan agar singgah ke pelabuhan kita seperti yang diterjemahkan dalam projek M-WEZ,” katanya kepada pemberita selepas me­lancarkan projek terbaharu itu di sini, semalam.

Sulaiman berkata, beliau ber­hasrat untuk membentangkan rancangan penubuhan Perbadanan M-WEZ pada persida­ngan Dewan Undangan Negeri akan datang.

Dalam pada itu, dokumen projek tersebut sudah lengkap dan akan dibentangkan dalam Mesyua­rat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 6 Mei ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sulaiman berkata, fokus utama ialah melonjakkan sektor maritim dengan mengga­lakkan pembangunan kontena dan pelabuhan kargo am selain terminal feri, zon bebas cukai, hab logistik, terminal gas dan minyak, kemudahan membaiki kapal serta bot di samping kemudahan pemunggahan dari kapal ke kapal (STS).

Beliau berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil memandangka hab pelabuhan kontena sedia ada di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka mempunyai lebih 10 petak untuk operasi STS termasuk menjadi persingghan dua buah kapal antarabangsa yang merupakan antara kapal terbesar di dunia lebih 10 tahun.

Katanya, sebagai lokasi strategik yang berada hampir di tengah-tengah Kuala Lumpur dan Singapura, M-WEZ berpotensi sebagai pasaran berpengaruh termasuk di Sumatera, Indonesia dengan titik lokasi paling hampir cuma sejauh 47 km dari Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.