Kewangan PNB kekal berdaya tahan - Utusan Malaysia

Kewangan PNB kekal berdaya tahan

ZETI Aziz membincangkan sesuatu dengan Ahmad Zulqarnain Onn selepas pelancaran Laporan Tahunan 2020 PNB secara maya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang berdaya tahan walaupun berhadapan tempoh yang mencabar sepanjang 2020.

Syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu telah meningkatkan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 3.4 peratus daripada RM312 bilion pada 2019 kepada RM322.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Unit Dalam Edarannya (UIC) untuk semua 15 dana juga meningkat sebanyak empat peratus untuk mencapai 264 bilion unit setelah menerima lebih daripada 200,000 pemegang akaun baharu sepanjang tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan akaun sebanyak 14.5 juta.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB berjaya mengharungi segala cabaran pada 2020 hasil transformasi yang dilaksanakan sejak 2018.

Kata beliau, PNB telah berjaya menghadapi satu lagi iklim pelaburan yang sangat mencabar dan dapat menghasilkan tiga pencapaian yang memberangsangkan pada 2020.

“Kami mengekalkan prestasi kewangan yang berdaya tahan, mencapai kemajuan ketara dalam usaha kepelbagaian portfolio dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna kepada pemegang unit, terutamanya menerusi platform digital.

“Hasilnya, PNB telah berjaya meningkatkan AUM dan terus memberikan pulangan kompetitif berjumlah RM11.1 bilion sepanjang tahun ini,” katanya dalam taklimat kepada media secara maya semalam.

Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Dalam pada itu, Zeti turut menambah, strategi pempelbagaian pelaburan yang merupakan sebahagian daripada strategi Focus 4 PNB membantu syarikat itu meningkatkan pulangan pelaburan.

Kata beliau, usaha tersebut akan terus dipergiat dengan pengurusan risiko yang lebih ketat dan pengurusan berkesan untuk kecairan serta pendedahan tukaran asing.

“Kami telah menubuhkan unit perbendaharaan untuk menangani dua inisiatif ini dan seterusnya memanfaatkan teknologi supaya kami dapat berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.

Hasil usaha kepelbagaian yang dilaksanakan PNB sejak 2018 berjaya meningkatkan jumlah aset antarabangsanya sebanyak 3.5 peratus untuk merangkumi 12 peratus daripada keseluruhan portfolio yang menghasilkan sumbangan yang jauh lebih besar iaitu 25.5 peratus kepada pendapatan kasar, berbanding 11.6 peratus pada 2019.

Daripada 12 peratus aset antarabangsa tersebut, 8.7 peratus terdiri daripada pelaburan ekuiti awam yang meningkat daripada 5.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi komposisi pendapatan kumpulan pula, sumbangan ekuiti global meningkat 18 kali ganda daripada RM200 juta pada 2017 kepada RM3.7 bilion pada 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya