JPV, Dutch Lady jalin kerjasama - Utusan Malaysia

JPV, Dutch Lady jalin kerjasama

DR. NORLIZAN Mohd. Noor (dua, kanan) dan Tarang Gupta bertukar dokumen kerjasama sambil disaksikan oleh Ronald Kiandee (tengah) dan Eva Oskam (dua, kiri) di Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memajukan industri tenusu negara, capai bekalan susu lestari

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memeterai memorandum kerjasama (MoC) bersama Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) dalam usaha memajukan industri tenusu negara.

Kerjasama itu juga bertujuan membantu negara mencapai bekalan susu yang lestari pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, industri tenusu negara mempunyai potensi terbaik untuk dimajukan.

Beliau berkata, peningkatan pengeluaran susu segar daripada 27 juta liter pada 2010 kepada hampir 42 juta liter tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK) dan RMK-11, menjadi landasan kukuh untuk kerajaan terus meningkatkan pengeluaran susu segar dalam RMK-12.

“Saya harap kerjasama berasaskan konsep awam swasta ini dapat memacu pelaksanaan program yang sudah dirancang kerajaan dan pihak swasta untuk kelestarian industri tenusu negara,” katanya pada majlis menandatangani MoC berkenaan di sini, semalam.

Pada majlis itu, JPV diwakili Ketua Pengarah, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor, manakala DLMI diwakili Pengarah Urusannya, Tarang Gupta. Turut hadir, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Belanda ke Malaysia, Eva Oskam.

Menurut JPV, industri ternakan merupakan antara industri penting dalam agromakanan negara dengan nilai sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM15 bilion dan sebanyak RM68 juta daripadanya adalah daripada industri tenusu.

Ronald berkata, perkembangan positif industri tenusu juga dapat dilihat melalui pelaksanaan program minuman susu 100 peratus susu segar tempatan, yang dibekalkan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah terpilih melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Jun 2019.

Sementara itu, Gupta berkata, kerjasama itu merupakan langkah ke hadapan untuk Malaysia mencapai 100 peratus SSL dalam pengeluaran susu segar tempatan menjelang 2025.
Pada masa ini, tahap sara diri (SSL) susu negara adalah 62 peratus.

“Dengan pengalaman selama 58 tahun di Malaysia, DLMI berada dalam posisi yang baik untuk menjadi saluran antara Malaysia dan Belanda memudahkan urusan pertukaran kemahiran bagi mewujudkan sektor tenusu yang mampan di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama turut membabitkan aktiviti ternakan lembu tenusu lestari, melibatkan petani tenusu tempatan di dalam Program Pembangunan Tenusu (DDP) dan Petani ke Petani (F2F) untuk meningkatkan kualiti dan jumlah susu segar di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya