FIC perkuat TLDM laksana Op Benteng - Utusan Malaysia

FIC perkuat TLDM laksana Op Benteng

Pembelian enam bot pemintas laju (FIC) bakal memperkukuhkan operasi penguatkuasaan di perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perairan negara yang luas merupakan cabaran kepada pasukan keselamatan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam usaha memastikan perairan negara tidak mudah dibolosi, pihak kerajaan terus memperkukuh dan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan.

Ini termasuk menambah kekuatan logistik bagi penugasan dalam Op Benteng melalui pembelian enam bot pemintas laju (FIC) bernilai RM80 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bot berkelajuan 50 knot dan mampu memintas mana-mana bot yang menceroobh perairan negara dalam tempoh cepat.

Bot-bot itu akan ditempatkan di pangkalan utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Menurut Ismail Sabri, pihaknya berpuas hati dengan keupayaan FIC dan berhasrat memiliki 13 lagi bot serupa dengan anggaran harga lebih RM170 juta, bagi mengukuhkan lagi kekuatan TLDM dalam Op Benteng.

“Projek fasa pertama FIC ini dibina oleh syarikat tempatan, Gading Marine Industry Sdn Bhd (GMI) berpangkalan di Lumut Port Industrial Park, yang siap dalam tempoh lima bulan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima enam bot FIC itu serta menyaksikan demonstrasi keupayaan bot tersebut di Pangkalan TLDM Lumut di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima TLDM, Laksamana Mohd. Reza Mohd. Sany dan Pengerusi Eksekutif Gading Berhad, Datuk Seri Johari Harun.

FIC yang panjang 18 meter dan memiliki dua jentera 1,550 kuasa kuda dengan sistem dorongan jet direka bentuk untuk dikendalikan lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota Pasukan Bergerak Cepat (QRF) pada satu-satu masa.

ISMAIL SABRI YAAKOB

 

Ismail Sabri berkata, FIC boleh digunakan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kabinet akan memutuskan status projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah terhenti pembinaannya sejak Disember 2019.

Kata Ismail Sabri, beliau akan membawa isu projek tersebut dalam mesyuarat Kabinet sama ada pada minggu depan atau minggu seterusnya.

“Setakat ini, kita sudah merangka dua cadangan pilihan iaitu Boustead Holdings Berhad (Boustead) meneruskan semula projek tersebut dengan beberapa cadangan hala tuju baharu.

“Tetapi, jika Kabinet tidak setuju, kita akan batalkan dan serah kepada syarikat lain.

“Bagaimanapun, kita masih mengutamakan opsyen pertama sebab kita bukan hanya mahu menyiapkan LCS tetapi juga kebajikan pekerja,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebelum memohon Kerajaan Pusat meneruskan pelaksanaan projek pembinaan enam kapal LCS TLDM itu.

Menurut beliau, penangguhan projek itu memberi kesan kepada kira-kira 10,000 pekerja tempatan dan menjejaskan 400 syarikat pembekal.

Malah, katanya, dalam tempoh itu, 50 peratus syarikat pembekal terpaksa gulung tikar ekoran terkesan dengan penangguhan berkenaan.

Mengenai stesen minyak sistem mudah alih kontena (PCS) yang dibina dalam kawasan Armada Mutiara Pangkalan TLDM, Ismail Sabri berkata, ia memudahkan lebih 15,000 anggota TLDM dan keluarga mereka untuk mengisi minyak kenderaan dan tidak perlu keluar dari kawasan kem.

“Kios sama juga akan dibina dalam kem tentera lain di seluruh negara bagi memudahkan anggota tentera dan keluarga mereka untuk mengisi minyak kenderaan,” katanya.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, pihaknya berhasrat untuk menjadikan kawasan Armada Mutiara sebagai ‘pusat hentian setempat’ kepada warga TLDM Lumut termasuk mewujudkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di situ.

Ketika ini, kawasan itu yang dikelilingi pangsapuri Rumah Kelamin TLDM, turut mempunyai sebuah bangunan pusat perniagaan dan medan selera selain Masjid An-Nur yang terletak berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya