Fasa kedua PIPC sasar pelaburan RM5 bilion - Utusan Malaysia

Fasa kedua PIPC sasar pelaburan RM5 bilion

Fasa kedua projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang menyasarkan pelaburan baharu membabitkan sektor minyak dan gas hiliran serta aktiviti sokongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) mensasarkan pelaburan bernilai RM5 bilion dalam fasa kedua pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) bermula 2020 hingga 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan baharu itu membabitkan sektor minyak dan gas hiliran serta aktiviti sokongan berkaitan.

Jelas beliau, fasa pertama PIPC yang bermula sejak 2012 hingga 2019 telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM120.7 bilion khususnya daripada Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas oleh Petronas dan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) oleh Dialog Group.

“Kedua-dua pelaburan ini telah mewujudkan sebanyak 6,500 peluang pekerjaan baharu dalam bidang berkemahiran.

“Jadi, untuk fasa kedua bermula 2020 hingga 2025, JPDC mensasarkan pelaburan baharu sebanyak RM5 bilion,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan bagi mengumumkan perkembangan fasa kedua projek tersebut, di sini semalam.

Mustapa turut menambah, JPDC juga merancang mendapatkan dana bagi menambah baik prasarana dan kemudahan awam yang mampu menyokong pertumbuhan industri hiliran minyak dan gas di Pengerang.

Katanya, ini kerana dalam fasa pertama Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana pembangunan bernilai RM2.48 bilion untuk 25 pakej kerja pembinaan lebuh raya dan jalan raya, naik taraf jalan persekutuan, pembinaan jaringan saliran dan perparitan dalam kawasan industri, di samping pembinaan infrastruktur awam seperti balai bomba, balai polis dan klinik kesihatan.

“Sementara itu, kerajaan ne­geri juga telah mengeluarkan dana sebanyak RM1 bilion untuk pembinaan penempatan baharu bagi membolehkan pembangunan industri berlangsung,” ujarnya.

Mustapa berkata, sepanjang fasa kedua berkenaan, JPDC akan turut melaksanakan program latihan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan agar golongan ini berpeluang bekerja dalam operasi hiliran minyak dan gas bukan sahaja di PIPC tetapi di seluruh Malaysia.

“Sejak 2013 hingga Mac tahun ini, JPDC telah menjalankan 58 program peningkatan kemahiran melibatkan 4,097 tenaga kerja tempatan yang menerima latihan di 12 institusi latihan teknikal awam seluruh Malaysia dengan hampir kesemuanya mendapat pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif JPDC, Mohd Yazid Ja’afar pula memaklumkan, sebahagian daripada sasaran itu sudah dicapai membabitkan pengembangan projek PDT bernilai RM1.6 bilion dan pengembangan projek Petronas bernilai RM600 juta.

“Memang ada lebih ramai pi­hak yang berminat terutamanya dalam pelaburan petrokimia tetapi tidak boleh umum dahu­lu kerana ia bergantung kepada si­tuasi semasa Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya