ECER tarik pelaburan RM2.6 bilion  - Utusan Malaysia

ECER tarik pelaburan RM2.6 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM2.6 bilion dalam suku pertama 2021.

Di bawah Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2.0 (EMP 2.0), dari 2018 hingga Februari lalu, ECER telah berjaya menarik pelaburan komited kumulatif bernilai RM17 bilion yang dijangka akan mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan 1,800 peluang perniagaan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mengekalkan sasaran untuk pelaburan swasta bernilai RM70 bilion menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam EMP 2.0.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, dalam jangka pendek, menarik minat pelaburan baharu akan terus menjadi cabaran buat pihaknya terutama ketika ekonomi masih dalam fasa pemulihan.

“Bagaimanapun, tren tahun ini yang menunjukkan penurunan kes harian Covid-19 di serata dunia berikutan kegiatan vaksinasi, telah mendorong peningkatan harga minyak dan peningkatan minat dalam mempelbagaikan rantaian bekalan dan kepentingan keselamatan makanan.

“Justeru, ECERDC telah merangka pelan untuk meningkatkan daya saing Wilayah sebagai destinasi pelaburan dan mengembalikan semula momentum pelaburan,” jelasnya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Majlis ECERDC.

Ujarnya, ECERDC melalui Pusat Fasilitasi Pelaburan Gebeng (GIFC) yang ditubuhkan dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, akan terus memudahcara dan mempercepat realisasi pelaburan serta menarik pelaburan baharu yang sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan RM3.3 bilion.

Tambahnya, selain mendorong pembangunan sosioekonomi rakyat dan merapatkan jurang pendapatan ECER dengan negeri-negeri Pantai Barat, pelaksanaan projek infrastruktur strategik di ECER adalah penting untuk meningkatkan keyakinan para pelabur.

Oleh itu, katanya, ECERDC akan terus melaksanakan 27 projek infrastruktur berimpak tinggi yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk tahun ini.

Mengulas lanjut, Baidzawi memberitahu, ECERDC juga melaksanakan program pembangunan modal insan berimpak tinggi untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan kadar pengangguran di Wilayah ini untuk rakyat yang berdaftar di bawah e-Kasih, penganggur dan Orang Asli.

Berdasarkan data dari e-Kasih, 14 peratus atau 673,289 rakyat di ECER hidup di bawah garis kemiskinan negara dan hampir separuh daripada 67,500 penganggur di ECER adalah graduan.

“Program berimpak tinggi ECERC menekankan kepada peningkatan kemahiran penduduk tempatan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran yang sesuai untuk pasaran kerja dan keusahawanan.

“Kami ingin memastikan rakyat mendapat manfaat daripada peluang perniagaan dan pekerjaan yang diwujudkan oleh pelaburan swasta di ECER,” jelas Baidzawi.

Pada suku pertama 2021, seramai 1,350 belia yang menganggur telah dilatih melalui program Penempatan Pekerjaan dan Latihan dan Latihan dan Penempatan Pekerjaan, di mana seramai 1,114 orang peserta telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, ECERDC juga telah merancang pelaksanaan agrofood@ECER, sebuah projek bersepadu bagi produk pertanian dan makanan yang merangkumi pengeluaran susu segar, penanaman kelapa, pengeluaran makanan haiwan berskala besar, projek fertigasi tanaman, projek transformasi perikanan dan akuakultur ECER.

Antara projek Perniagaan Tani strategik yang sedang dibangunkan adalah Lembah Tenusu ECER yang merangkumi projek Lembah Tenusu Jemaluang dan Lembah Tenusu di Pahang Barat, Kelantan dan Terengganu.

Lembah Tenusu Jemaluang yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2023 disasarkan akan menghasilkan 6 juta liter susu segar setahun.

Untuk pemerkasaan digital pula, ECERDC turut melaksanakan program berasaskan Industri 4.0 melalui Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) yang bertempat di Cybercentre di Taman Teknologi Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.